SELEPAS hampir sedekad menjalinkan hubungan cinta, bintang bola sepak Arsenal, Theo Walcott dan Melanie Slade akhirnya melengkapkan kisah romantis mereka dengan perkahwinan.
Seperti yang diimpikan oleh pasangan pengantin muda itu, majlis
perkahwinan berlangsung dengan penuh eksklusif dan mewah di sebuah
istana lama, Castello Di Vincigliata yang terletak di Florence, Itali
pada 15 Jun lalu.
Hanya keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai dibenarkan hadir
pada majlis berkenaan. Kieran Gibbs, Laurent Koscielny, Aaron Ramsey,
Alex Oxlade-Chamberlain serta Thomas Vermaelen antara bintang Arsenal
yang meraikan hari istimewa Walcott dan Melanie.
Biarpun majlis perkahwinan mereka sudah berlangsung hampir dua
minggu, namun gambar-gambar pasangan ini hanya tersebar minggu ini.
Pada majlis tersebut juga, Walcott dan Melanie telah meminta tetamu
agar tidak membawa hadiah perkahwinan, sebaliknya mahu mereka menderma
kepada Yayasan Willow.
Yayasan tersebut yang diasaskan oleh legenda Gunners, Bob Wilson ditubuhkan untuk membantu pesakit kanser.
Mengimbas bagaimana hubungan Walcott, 24, dan Melanie, 23 mula
terjalin, kedua-duanya bertemu buat kali pertama di sebuah pusat membeli
belah di WestQuay, Southampton pada 2004.
Ketika itu, Walcott baharu berusia 15 tahun dan sedang memulakan
kariernya dengan menuntut di Akademi Bola Sepak Southampton, manakala
Melanie pula masih belajar di sekolah tinggi. Mereka bertunang pada
sambutan tahun baharu 2012.
"Mereka jatuh cinta sebelum Theo terkenal lagi dan itulah yang
mengukuhkan hubungan kedua-duanya," kata seorang rakan rapat pasangan
muda ini.
Walaupun seorang yang kental dan lasak ketika di padang bola, namun
pada hari ketika disatukan gadis pujaannya sejak zaman remaja, Walcott
tidak dapat menyembunyikan rasa terharu kerana akhirnya bergelar suami.
"Ia sangat luar biasa kerana akhirnya saya memanggil Melanie isteri.
Sekarang saya sangat teruja untuk melihat apa yang akan berlaku pada
masa depan kami.
"Saya tidak fikir perkahwinan ini akan merubah hubungan kami, saya
harap tidak kerana perkahwinan adalah segala-galanya yang kami impikan
selama ini," ujar Walcott.
Setelah menjadi pasangan suami isteri, Walcott dan Melanie mempunyai
beberapa pilihan tempat tinggal, iaitu sama ada mahu kekal di England
atau berhijrah ke Itali.
Semua bergantung kepada kontrak Walcott bersama Arsenal musim depan.
Sementara itu Melanie mengakui, detik paling indah dalam hidupnya
adalah ketika melihat lelaki pujaannya menanti di atas altar untuk
melafazkan ikrar perkahwinan mereka.
"Ia adalah detik paling indah ketika saya melihat Theo menanti di
atas altar. Emosi saya bercampur baur, saya sangat teruja dan gembira
kerana bakal mengahwini lelaki yang paling saya cintai.
"Begitupun pada masa yang sama, saya rasa gelisah kerana sedar saya
akan memasuki satu fasa baharu dalam hidup saya," ujar Melanie.
Melanie sebelum ini pernah dilabel sebagai Coleen McLoughlin (isteri
Wayne Rooney) baharu oleh media Britain, namun dia lebih gemar bersikap
rendah diri dengan hanya mahu memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai
fisioterapi. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan