Ahad, 23 Jun 2013

Wenger patut tinggalkan Gunners - Adams


LONDON - Bekas bintang Arsenal, Tony Adams melancarkan serangan pedas terhadap Gunners dan menawarkan dirinya untuk menjadi ahli lembaga kelab bagi membantu mereka mencari pengganti Arsene Wenger. 

Legenda Gunners itu bimbang, kelab London tersebut terlalu jauh daripada menggapai kejuaraan, sambil menganggap keengganan Arsenal melepaskan pengurus mereka itu menjadi penghalang terbesar buat pasukan untuk melakar kejayaan.

Malah, bekas tonggak pertahanan England itu turut menambah, jurulatih kelahiran Perancis itu harus membuat keputusan meninggalkan kelab, musim depan. 

"Sekarang adalah masanya untuk Arsenal memenangi sesuatu sekali lagi, tidak kira Piala FA atau Piala Liga, namun secara jujurnya, saya tidak nampak perkara itu akan berlaku. 

"Masih ada beberapa aspek yang bagus dalam pasukan dan ia cukup baik untuk memberi saingan, namun kita terlalu jauh daripada hendak menggapai gelaran," ujar Adams. 

Adams, 46, juga telah menawarkan dirinya untuk menyertai Lembaga Pengarah Arsenal tetapi tidak pernah menerima jawapan.

Malah, dia terkejut apabila kelab London itu menamakan Chips Keswick yang sudah berusia 73 tahun sebagai pengerusi baharu mereka minggu lepas, sambil berkata, pelantikan tersebut seperti tidak mempunyai imaginasi.

Bekas kapten Gunners itu turut menambah: "Chips adalah seorang lelaki yang hebat tetapi bukan pilihan yang sangat imaginatif oleh pemilik, dan dia sudah berusia 73 tahun.

"Jika mereka hanya mahu boneka, maka patutlah mereka tidak datang kepada saya kerana saya sudah tentu mempunyai wawasan yang lebih besar berbanding Chips."

Wenger, yang tidak memenangi sebarang trofi dalam tempoh lapan tahun di Gunners, turut dikaitkan dengan gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) bagi mengisi kekosongan jawatan pengurus pasukan yang ditinggalkan oleh Carlo Ancelotti. 

Bagaimanapun, akhbar di Perancis berkata, PSG sudah semakin hampir untuk menandatangani kontrak dengan jurulatih kebangsaan Perancis, Laurent Blanc. 

"Mereka (Arsenal) sepatutnya dikaitkan dengan pengurus baharu. Ketua eksekutif, Ivan Gazidis berada dalam situasi yang berliku dan dia patut mendapatkan bantuan," tambah Adams lagi. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan