Rabu, 31 Julai 2013

KAFA tarik balik saman Mat Yo

 
KAFA tarik balik saman Mat Yo Aksi Norshahrul (tengah) ketika bertemu dengan Chelsea Nathanel pada perlawanan Jelajah Asia di Stadium Shah Alam, bulan lalu.
 
Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menarik balik saman terhadap penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha di Mahkamah Sesyen di sini, membabitkan tuntutan hutang RM120,975 selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Bendaharinya, Nik Aminaldin Nik Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah pada minggu lalu.
“Selepas kes ini difailkan hampir setahun, kes diselesaikan pada minggu lalu dengan perbincangan yang dipersetujui kedua-dua pihak. Alhamdulillah, ia diselesaikan dengan cara baik, kita tidak mahu bermasam muka.


Hutang tak banyak

“Lagi pun jumlahnya (hutang) tidak terlalu banyak. Jadi kita tidak mahu mengeruhkan keadaan dan mengaibkan sesiapa yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

KAFA sebelum ini memfailkan saman ke atas penyerang Johor Darul Takzim (DT) yang lebih dikenali sebagai Mat Yo bagi menuntut baki pampasan di atas tindakan pemain itu yang berpindah ke pasukan berkenaan penghujung musim lalu.

Kadar lima peratus

Dalam notis itu, KAFA menuntut baki hutang RM120,975 berserta faedah ke atas jumlah itu pada kadar lima peratus setahun dikira mulai 14 Mac 2013.

Sebelum ini, Pemain Paling Bernilai 2012 itu perlu membayar RM299,000.00 sebagai bayaran tebus kontrak kepada bekas majikannya.

Bayaran itu membabitkan baki kontrak 13 bulan dan pinjaman mudah yang diberikan KAFA kepada pemain itu. Bagaimanapun, sebahagiannya sudah dijelaskan Norshahrul menerusi bank draf kepada KAFA Januari lalu. 
 
 
Berita Harian

Nani mahu kekal di Old Trafford


 
Manchester: Nani memberi isyarat dia mahu kekal di Old Trafford bersama Manchester United walaupun Monaco berminat mendapatkan khidmatnya.

Pemain sayap Portugal berusia 26 itu masuk tahun terakhir dalam kontraknya bersama juara Inggeris berkenaan dan Monaco bersedia menawarkan sejumlah 8.5 juta (RM42.5 juta) berserta kontrak tiga tahun.

Moyes kenal kami

Bagaimanapun Nani seperti berat untuk meninggalkan Old Trafford dan mula menyuarakan hasratnya untuk kekal dengan mengatakan yang dia berminat untuk bermain di bawah pengendali baru, David Moyes.

“Memang ada perubahan tetapi kami berharap pengurus baru tampil dengan lebih banyak idea segar dan akan membantu kami menang lagi,” kata Nani berkenaan Moyes yang menggantikan Alex Ferguson.

“Pemain perlu membuktikan kemampuan mereka kerana kini pengurus berbeza. Dia tahu selok-belok Liga Perdana Inggeris dan dia kenal sebahagian besar daripada kami.” - Agensi 
 
Berita Harian

Luiz: Chelsea pasang RM300j jerat Bayern


 
London: Bagi mematikan hasrat Bayern Munich memancing David Luiz, Chelsea meletakkan harga 60 juta pound (RM300 juta) ke atas pertahanana Brazil itu.

Bos baru Bayern, Pep Guardiola berminat mendapatkan pemain 26 tahun itu untuk memperkuat bentengnya, dan dia menyediakan pakej 40 juta pound (RM200 juta) berserta tambahan 5 juta pound (RM25 juta) untuk mengumpan Blues.
Harga terlalu tinggi


Tetapi Chelsea berkeras mereka tidak akan menjual Luiz dan memberitahu kelab juara Eropah itu: “Harganya 60 juta pound atau kami tidak berminat.”

Bagi Bayern jumlah itu terlalu tinggi untuk pemain seperti Luiz - yang bernilai 21.3 juta pound (RM106.5 juta) ketika berpindah dari Benfica pada Januari 2011 – dan membuat keputusan untuk menarik diri daripada pembidaan. - Agensi 
 
Berita Harian

Fandi Pengarah Pembangunan

Oleh Rizar Mohd Noor | rizar@mediaprima.com.my 
Fandi Pengarah Pembangunan Pengurus JDT, Fandi Ahmad (depan), melihat pemain melakukan latihan dari bangku penonton di Stadium Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Bahru, kelmarin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pelantikan selepas Piala Malaysia, tangani Liga Malaysia musim depan

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Takzim (DT) yang digugurkan, Fandi Ahmad akan dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Johor pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Langkah itu sebagai membuktikan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) begitu serius memastikan program akar umbi untuk mencari bakat baru dengan lebih tersusun.
BH Sukan difahamkan jawatannya selaku pengurus Johor DT yang disandangnya sekarang hanya untuk kempen Piala Malaysia dan selepas kejohanan itu berakhir, Fandi akan dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Johor.

Berita Harian

Neymar gagal bantu Barca



NEYMAR (tengah) membuat penampilan pertama dengan Barca ketika seri 2-2 dengan kelab Poland, Lechia Gdansk kelmarin.


GDANSK, Poland - Bintang baharu Barcelona, Neymar gagal membantu Barca melakar kemenangan pada penampilan pertamanya dengan juara Liga Sepanyol itu.

Neymar, 21, yang masuk sebagai pemain gantian pada lewat perlawanan terpaksa berpuas hati apabila Barca sekadar seri 2-2 dengan kelab Poland, Lechia Gdansk kelmarin.
Neymar yang masih segar dengan kejayaan membantu Brazil menjulang trofi Piala Konfederasi bulan lalu dimasukkan pada minit ke-78 pada penampilan sulung dengan Barca sejak meninggalkan Santos.

Barca membayar Santos sebanyak £50 juta (RM247.4 juta) bagi membawa Neymar ke Sepanyol.
Pada aksi tersebut, bintang skuad Samba itu menggantikan penyerang, Alexis Sanchez sebelum penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi dikeluarkan setelah meledakkan gol kedua Barca.

Neymar mendapat tumpuan pemain-pemain lawan yang 'menyambut' kemasukannya dengan beberapa terjahan kasar.

Sementara itu, jurulatih baharu Barca, Gerardo Martino tidak menyertai pasukan dan beliau dijangka hanya akan melaksanakan tugasan pertamanya ketika Barca menentang bekas kelab Neymar, Santos di Stadium Nou Camp esok.

Sebelum perlawanan bermula, suasana dalam stadium sepi selama satu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas penjaga gol Barca, Antoni Ramallets yang meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Ramallets membuat penampilan sebanyak 473 kali bersama skuad The Catalan antara tahun 1946 hingga 1961 dan memenangi enam gelaran Liga Sepanyol serta lima Piala Sepanyol. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tottenham mahu Modric



MODRIC (kiri) menjadi pemain pertukaran sekiranya Real berhasrat untuk mendapatkan Bale daripada Tottenham.


LONDON - Tottenham Hotspur dilaporkan bersedia menjual Gareth Bale kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia.

Bagaimanapun, kelab Liga Perdana England itu mahukan Luka Modric sebagai pertukaran.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy yang berkeras untuk tidak melepaskan Bale sebelum ini mula berlembut, tetapi beliau akan berusaha sedaya upaya mahu 'menyusahkan' kelab Liga Sepanyol itu.
Levy dilaporkan mahu mendapatkan semula Modric sebagai pertukaran tambahan terhadap pembelian Bale.


Spurs bersetuju melepaskan Bale tetapi mereka berhasrat untuk membawa semula Modric ke White Hart Lane dengan harga melebihi £80 juta (RM395.7 juta) yang Real bayar kepada United ketika mendapatkan Cristiano Ronaldo pada 2009.

Pendirian Levy berubah selepas beliau sedar tentang kesanggupan Real untuk membayar jumlah yang besar semata-semata mahu membawa pemain sayap Wales itu ke Stadium Santiago Bernabeu.

Sebelum ini, pemain pertahanan kiri, Fabio Coentrao dan pemain sayap Angel Di Maria dipertaruhkan sebagai pertukaran dalam syarat tambahan ke atas pembelian Bale.

Namun, Di Maria difahamkan enggan menyertai kelab London itu dan kini Modric dilihat sebagai pilihan kedua.

Perancang berusia 27 tahun itu menyertai Real dengan harga £33 juta (RM163.2 juta) musim lepas.
Spurs yakin Modric berminat untuk menyertai semula skuad itu dengan prospek kehadiran penyerang baharu dari Valencia, Roberto Soldado dan beberapa pemain lagi dalam perancangan.

Modric pula dilihat bergelut berada dalam kesebelasan utama Real, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa dia mungkin akan kembali ke Liga Perdana England. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Apa nasib Rajagobal?


RAJAGOBAL (kiri) berdepan tekanan khususnya daripada pemerhati dan peminat bola sepak tempatan.


SPEKULASI tentang masa depan Datuk K. Rajagobal, sama ada beliau akan terus membimbing skuad Harimau Malaya atau sebaliknya bakal diketahui hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membuat keputusan mengenai masa depan ‘Raja Eksperimen’ itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Biarpun ramai menjangkakan bahawa Rajagobal akan terus membimbing Harimau Malaya, namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika pengendali berusia 57 tahun itu diarah meletak jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Prestasi buruk skuad Harimau Malaya sejak kebelakangan ini menjadi antara punca isu pemecatan Rajagobal mula timbul dan dibangkitkan oleh pengkritik, pemerhati mahu pun peminat bola sepak tempatan.

Semalam, anak-anak buah Rajagobal seakan-akan sengaja mahu menampah ‘bala’ apabila diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy.

Sebelum itu, Harimau Malaya tewas kepada dua kelab Divisyen Satu Liga Jepun iaitu Shonan Bellmare (0-5) dan Shimizu S Pulse (0-2).

Ketika diminta reaksi berhubung kekalahan ketiga Harimau Malaya di bumi Jepun semalam, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata: “Saya tak mahu komen. Tunggu sahaja kejutan esok (hari ini).”

Sejak beberapa bulan lalu, kalangan pemerhati dan peminat Harimau Malaya sudah hilang sabar dengan prestasi merudum Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat atau berundur secara terhormat.

Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan - satu rekod yang cukup memalukan.

Dua kemenangan itu direkodkan ketika Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu dan menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada aksi persahabatan bulan lalu.

Pada masa sama, Rajagobal turut dikecam hebat selepas skuad Harimau Malaya gagal memperbaiki kedudukan lebih baik dalam ranking dunia apabila kini menghuni tangga ke-159.

Harimau Malaya dijangka tiba ke ibu negara hari ini selepas ‘berguru’ hampir dua minggu di Jepun sebelum mereka dijadual menentang juara Liga Sepanyol, Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil 10 Ogos depan.

Selepas menentang The Catalan, anak-anak buah Rajagobal bertemu China dalam satu lagi aksi persahabatan pada 10 September sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

'Raja Eksperimen' gagal



SKUAD Harimau Malaya terus dikecam ekoran prestasi hambar dalam aksi persahabatan di Jepun.


EKSPERIMEN ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ternyata tidak menjadi sepanjang hampir dua minggu anak-anak buahnya ‘berguru’ di Jepun.

Tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi persahabatan di negara Matahari Terbit itu membuktikan betapa skuad kendalian Rajagobal tiada lagi taring sebenar.

Selepas tewas 0-2 kepada Shimizu S Pulse, anak-anak buah Rajagobal terus longlai apabila dibelasah 0-5, masing-masing kepada Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

Situasi itu sudah pasti memberi tekanan kepada Rajagobal bagi merencana strategi terbaik menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang akan kembali berlangsung Oktober depan.

Sebelum berlepas ke Jepun, prestasi Harimau Malaya sudah menjadi perdebatan dalam kalangan pemerhati dan peminat bola sepak tanah air.

Tatkala kedudukan mereka dalam ranking dunia sekali lagi menjadi persoalan, keputusan hambar yang dicatat Harimau Malaya dalam 10 perlawanan (kelayakan Piala Asia 2012, aksi persahabatan dan perlawanan ujian) terus diperkatakan.

Bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Shukor Salleh, beliau menggesa Rajagobal mencari satu jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi kepincangan prestasi Harimau Malaya.

“Kita kena jaga imej negara. Kalau main dengan pasukan kuat dalam perlawanan kelas A, jangan sesekali cari masalah dengan menguji pemain.

“Bila kita kalah dan imej kita akan sedikit tercalar, lebih-lebih lagi apabila kita tewas besar kepada pasukan berstatus kelab.

“Saya tahu Rajagobal seorang jurulatih yang hebat tetapi pada masa sama, kejayaan lalu tidak boleh lagi dijadikan sebagai penanda aras.

“Nasihat saya, beliau tidak boleh lagi bereskperimen pada perlawanan-perlawanan penting sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia nanti,” kata Shukor ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Dali Omar turut bersetuju pandangan Shukor.

Dali berkata, Harimau Malaya akan kekal statik sekiranya Rajagobal masih mengambil pendekatan yang sama untuk menghadapi perlawanan akan datang.

“Kita bukan tiada pemain yang boleh diketengahkan tetapi jika pendekatan eksperimen berterusan, bagaimana kita hendak melihat kemampuan setiap pemain dalam tempoh jangka panjang.

“Saya berpendapat, kita sudah terlambat untuk memperbaiki kelemahan yang ada kerana kita tidak mempunyai banyak masa sebelum saingan kelayakan Piala Asia kembali bersambung.

“Saya tidak faham bagaimana ada pihak yang mengatakan ranking itu tidak penting dan pendirian itu harus kita perbaiki terlebih dahulu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 30 Julai 2013

Azmi galas tanggungjawab Fandi



AZMI (kiri) memulakan sesi latihan bersama skuad Johor DT di Stadium UTM, Skudai, Johor Bahru malam tadi.


BELUM sampai sebulan nama Cesar Ferrando Jiminez disebut-sebut menjadi ketua jurulatih baharu Johor Darul Takzim (Johor DT) bagi saingan musim depan, skuad Harimau Selatan sekali lagi menerima kejutan.

Kali ini, jurulatih kelahiran Singapura, Fandi Ahmad (gambar kecil) dilapor tidak lagi menjadi 'pilihan' Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membimbing Johor DT.

Sebaliknya, PBNJ memberi kepercayaan kepada anak tempatan yang juga jurulatih Johor, Azmi Mohamed bagi meneruskan tugas Fandi pada Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini.

Bagaimanapun, Fandi dilapor masih kekal menjawat jawatan sebagai pengurus skuad Harimau Selatan itu.

Terdahulu, timbul spekulasi di beberapa media sosial yang mengatakan PBNJ telah memecat Fandi sebagai ketua jurulatih Johor DT.

Khabar angin itu bagaikan benar apabila Azmi memberitahu bahawa beliau telah menerima surat rasmi untuk menggantikan Fandi buat sementara.

Menurut Azmi, beliau menerima surat lantikan tersebut kira-kira pukul 1 petang kelmarin dengan arahan jelas untuk melatih Johor DT bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Saya tidak tahu mengenai Fandi tetapi saya sudah menerima surat rasmi untuk melatih Johor DT berkuat kuasa serta merta semalam (kelmarin)," kata Azmi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Difahamkan, kegagalan Johor DT menjuarai Piala FA dan Liga Super musim ini meskipun mempunyai barisan pemain bintang termasuk beberapa pemain kebangsaan, menjadi antara faktor Fandi 'digugurkan' daripada membimbing pasukan itu.

Mengulas lanjut tugasnya sebagai jurulatih baharu Johor DT, Azmi mengakui ia bukanlah satu tugas mudah.

Namun menurut Azmi, dia tetap akan berusaha untuk merealisasikan impian Johor DT meraih satu daripada tiga piala musim ini.

"Memang ini tugas yang cukup mencabar tetapi saya akan cuba lakukan sesuatu yang terbaik untuk cita-cita menjuarai Piala Malaysia. Apa yang penting, saya harap semua pemain dapat memberi kerjasama

"Ini merupakan peluang terakhir untuk Johor DT menjulang salah satu piala musim ini selepas gagal menjuarai Piala FA dan Liga Super," katanya.

Azmi memulakan tugasnya dengan mengendalikan sesi latihan Johor DT di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru malam tadi manakala Fandi pula hanya dilihat berada di tempat duduk penonton.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

'Beri Rajagobal peluang'


BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ibrahim Saad berpendapat Datuk K. Rajagobal harus diberi peluang membimbing skuad Harimau Malaya sehingga berakhirya kempen kelayakan Piala Asia 2015 tahun depan.

Ibrahim berkata, tindakan untuk memecat Rajagobal, 57, bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan prestasi merudum skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, Ibrahim menjelaskan bahawa Rajagobal dan anak-anak buahnya harus mengembalikan semula keyakinan serta kepercayaan peminat tempatan.

"Caranya ialah meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang dilalui termasuk aksi persahabatan.

"Saya fikir Rajagobal masih belum terlambat tetapi kali ini, beliau harus mendengar pendapat dan pandangan daripada 'orang-orang lama' serta bekas pemain kebangsaan.

"Saya lihat pendekatan itu tidak akan merugikan Rajagobal, malah beliau akan mendapat input tambahan dan berguna bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap.

"Secara peribadi, saya berasakan bahawa Rajagobal harus diberi peluang, sekurang-kurangnya hingga tamat kelayakan Piala Asia nanti," jelas Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak beberapa bulan lalu, pemerhati dan peminat bola sepak tempatan seakan-akan sudah hilang sabar dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat.

Semuanya gara-gara keputusan buruk yang dilakar oleh anak-anak buah Rajagobal yang menyaksikan mereka sekadar meraih dua kemenangan sepanjang 12 perlawanan yang diharungi tahun ini.

Selain meraih kemenangan 2-1 ke atas Yemen dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu, Harimau Malaya menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada perlawanan persahabatan bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan, Rajagobal tidak perlu 'berdendam' dengan setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya dan skuad Harimau Malaya.

"Rajagobal tidak boleh berkecil hati, sudah menjadi perkara biasa seseorang jurulatih dihentam atau dikritik.

"Kita beri peluang dahulu kepada Rajagobal untuk meneruskan perancangannya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015. 

"Harap peminat dapat bersabar kerana pertukaran jurulatih belum tentu dapat memperbaiki prestasi skuad negara dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selesai segera isu Bale




LONDON - Penolong pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane mahu membawa Gareth Bale ke skuad Los Blancos secepat yang mungkin. 

Zidane mendedahkan keinginan itu selepas spekulasi perpindahan pemain tengah Tottenham Hotspur tersebut ke Stadium Santiago Bernabeu semakin hangat.

Pemain legenda Perancis itu berharap, perjanjian dengan pemain antarabangsa Wales yang turut menjadi buruan Manchester United itu akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat.
"Kami tidak akan berputus asa dengan Bale.

"Mustahil kami akan melupakan seorang pemain yang berkualiti.

"Sesuatu yang normal apabila Tottenham mahu dia menandatangani kontrak baharu tetapi kami menjelaskan bahawa dia adalah objektif utama kami," kata Zidane.

Bale dilaporkan telah memberitahu Tottenham bahawa dia mahu mengadakan perbincangan dengan Real berhubung satu rekod perpindahan dunia.

Real turut memberi amaran kepada Bale bahawa dia hanya memperoleh peluang itu sekali seumur hidup.

Kelab gergasi Sepanyol itu mahu perpindahan tersebut diselesaikan secepat mungkin atau mereka mungkin membeli pemain lain.

Presiden Real, Florentino Perez akan berbincang dengan pengerusi Spurs, Daniel Levy di Miami awal bulan Ogos depan apabila kelabnya menghadapi jelajah pra-musim di London.

Bale bakal ditawarkan kontrak baharu untuk membolehkannya kekal di White Hart Lane, namun dia dikatakan enggan menerimanya dan akan meminta Spurs supaya melepaskannya secara rasmi.

Sebelum ini Bale mendedahkan bahawa dia gembira berlatih di bawah bimbingan Andre Villas-Boas, namun dia juga sedar peluang untuk beraksi dengan kelab sehebat Real tidak mungkin akan datang sekali lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Lewandowski setia dengan Dortmund

LEWANDOWSKI (depan) menyuarakan komitmen dengan Dortmund selepas gagal dalam usahanya untuk menyertai Bayern musim depan.


BERLIN - Penyerang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski menyuarakan komitmennya kepada finalis Liga Juara-Juara itu selepas gagal dalam usahanya menyertai juara trebel, Bayern Munich musim depan.

Lewandowski yang masih mempunyai kontrak dengan Dortmund sehingga 2014 enggan menyambung kontrak baharu musim lepas dengan harapan dapat menyertai kelab yang diimpikannya.

Situasi itu menyebabkan Lewandowski diramal menjadi pemain kedua yang berpindah ke Bayern selepas Mario Goetze namun, Dortmund menghalang perpindahan itu.
"Saya akan memberi apa yang terdaya demi Dortmund.

"Tidak kira apa yang telah berlaku. Saya tidak berminat tentang situasi di luar padang," jelas Lewandowski.

Penyerang kebangsaan Poland itu mengharungi musim cemerlang apabila meledakkan 24 gol dalam Liga Jerman dan menambah 10 lagi gol dalam kempen Liga Juara-Juara termasuk empat gol ketika menentang Real Madrid pada aksi separuh akhir.

Dortmund yang tumpas kepada Bayern sepanjang tiga kejohanan musim lepas tidak akan menerima sebarang yuran perpindahan sekiranya Lewandowski meninggalkan mereka secara percuma selepas kontraknya berakhir tahun depan.

"Apabila saya berada di atas padang, saya hanya fikirkan tentang Dortmund. Saya mahu memberikan segala yang termampu dan mengecapi kejayaan di sini," tambahnya lagi.

Lewandowski merangkul trofi pertamanya musim ini apabila Dortmund menewaskan Bayern Munich 4-2 dalam saingan Piala Super Jerman minggu lepas.

Pemain berusia 24 tahun itu turut mencipta peluang gol pertama buat pasukannya.
"Saya harap, ini bukan trofi terakhir yang kami menangi," katanya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Neymar curi tumpuan

NEYMAR (kiri) menjalani sesi latihan pertamanya dengan Barcelona di Pusat Sukan Joan Gamper di San Joan Despi, Sepanyol kelmarin.


LONDON - Penyerang baharu Barcelona, Neymar menjalani sesi latihan pertamanya dengan juara Liga Sepanyol itu selepas selesai melakukan ujian perubatan kelmarin.

Selain Neymar, beberapa pemain yang terbabit pada kempen Piala Konfederasi 2013 turut kembali ke Barcelona untuk menjalani latihan seperti Xavi, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Lionel Messi.

Ini adalah peluang pertama Neymar untuk cuba menarik minat rakan sepasukannya di kelab baharu tersebut selepas menjadi pemain kedua termahal dibeli oleh Barca dengan harga £50 juta (RM247.2 juta).

Zlatan Ibrahimovic masih kekal menjadi pemain termahal kelab tersebut ketika dibeli dengan harga £56 juta (RM276.9 juta) dari Inter Milan pada 2009.

Neymar beraksi bersama Brazil pada kempen Piala Konfederasi 2013, Jun lalu di mana dia berjaya menewaskan hampir keseluruhan pemain Sepanyol dalam skuad Barca di final.

Salah seorang daripadanya ialah Fabregas yang ketika ini berada dalam senarai pembelian Manchester United sebelum musim perpindahan ditutup 2 September depan.

Barca sebelum ini telah menolak dua tawaran United, namun Moyes berkata: "Kami akan lihat mengenai informasi yang kami ada dan kami akan putuskan apa yang bakal dilakukan selepas itu.
"Kami akan melihat kepada semua pilihan yang kami ada." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Nelydia gembira dengan pengakuan Qi




SEBELUM ini pasangan pelakon Qi Razali dan Nelydia Senrose selalu berteka-teki mengenai status hubungan mereka, biarpun ramai yang sudah tahu tentang keakraban kedua-duanya.

Apabila ditanya tentang sejauh mana hubungan yang terjalin antara mereka, baik Qi mahupun Nelydia lebih suka memberi jawapan selamat dengan mengatakan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar teman rapat.

Bagaimanapun, akhirnya Qi yang terkenal dengan program Jalan-Jalan Cari Makan itu telah mendedahkan bahawa dia kini merupakan kekasih kepada Nelydia.

Ia sekali gus menepati tanggapan ramai yang menganggap mereka sememangnya menjalinkan hubungan cinta.

Nelydia yang ditemui semasa penggambaran telemovie khas Setia Hujung Nyawa Raya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. baru-baru ini berkata, pada mulanya dia agak terkejut dengan pendedahan tersebut, tetapi tidak kisah apabila hubungan mereka kini diketahui ramai.

"Saya cuma dapat tahu tentang pengakuan Qi menerusi laporan media, jadi pastinya ia satu kejutan.
"Namun begitu, saya tidak menyalahkan dia kerana hakikatnya kami kini pasangan kekasih.

"Qi tidak pernah berbincang dengan saya sebelum dia membuat kenyataan itu, tetapi saya lega kerana akhirnya dia yang membuka mulut. 

"Lagipun saya rasa sudah tiba masanya untuk kami bersikap lebih terbuka dan peminat perlu tahu tentang hubungan kami sekarang," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai tindakan mereka yang berahsia tentang hubungan yang terjalin sebelum ini, Nelydia menjelaskan, dia dan Qi tidak berniat untuk merahsiakannya.

KARYAWAN produksi telemovie Setia Hujung Nyawa Raya sempat bergambar merakam kenangan.


Pelakon itu turut menyangkal dakwaan yang mengatakan populariti mereka yang sedang meningkat akan merudum sekiranya perkara itu diketahui oleh peminat.

"Saya akui sebelum ini kami belum bersedia untuk memberikan jawapan sebenar mengenai hubungan kami. Sebenarnya perasaan risau pun ada jika hubungan kami ini tidak menjadi.

"Mengenai populariti pula saya percaya peminat sekarang lebih bijak menilai seseorang artis itu. Malah saya gembira kerana mereka juga banyak memberikan sokongan terhadap hubungan kami," ujar pelakon yang baru mencecah usia 19 tahun itu.

Sementara itu, memandangkan kedua-duanya kini sudah mengaku sebagai pasangan kekasih, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Spa Q itu turut ditanya kalau dia dan Qi pernah berbincang tentang perkahwinan mereka.

Berjauhan

Menurut Nelydia, setakat ini mereka belum berbincang mengenainya meskipun Nelydia sedar usia kekasihnya itu sudah menjangkau 35 tahun.

Ujarnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk menjalinkan hubungan cinta dengan Qi sebelum merancang untuk berkahwin.

"Ketika ini saya dan Qi sibuk dengan kerjaya masing-masing dengan tawaran yang semakin mencurah-curah. 

"Mungkin itu salah satu faktor yang membuatkan kami tidak sempat untuk membawa hubungan ini ke fasa yang lebih serius.

"Pada masa yang sama, dengan usia saya sekarang perkahwinan bukanlah keutamaan kerana fokus saya sudah tentu kepada bidang lakonan dan pelajaran," jelas penuntut dalam bidang Psikologi di Kolej SEGi, Subang Jaya, Selangor itu.

Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan, dia tidak mampu menolak sekiranya ditakdirkan mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Setelah hampir sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 8 Ogos ini.

Namun begitu, Nelydia menyatakan sambutan Aidilfitri tahun ini kurang berseri kerana dia tidak dapat meraikannya bersama kekasih hatinya yang kini berada jauh di perantauan.

"Ketika ini Qi sedang berada di Buenos Aires, Argentina untuk menjalani program kanak-kanak Art Attack. Dia berada di sana selama dua bulan dan dijangka pulang pada bulan September ini.

"Sepanjang tempoh tersebut kami terpaksa berjauhan dan tidak dapat beraya buat kali pertama sebagai pasangan kekasih. 

"Apa yang mampu saya lakukan sekadar berdoa agar dia selamat dan sihat sepanjang berada di sana," ujarnya yang mengakui sedikit sedih kerana hasrat untuk beraya bersama-sama tidak tercapai.
NELYDIA bercuti sempena Aidilfitri selama seminggu di kampung halamannya di Bachok, Kelantan.


Cuti seminggu
Mengakui memendam perasaan rindu yang mendalam terhadap kekasihnya itu, Nelydia berkata, kerinduannya itu dapat diisi dengan memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya lakonannya.

"Secara kebetulan jadual lakonan saya sekarang agak padat, jadi tidaklah terasa terlalu rindu. Kalau ada masa terluang kami akan saling berhubung antara satu sama lain menerusi panggilan telefon," ujarnya.

Bercerita tentang aktivitinya sepanjang bulan puasa, Nelydia memberitahu pada tahun ini dia lebih sibuk berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana terbabit dengan penggambaran dua telemovie iaitu Setia Hujung Nyawa Raya dan Syurga Tanpa Bidadari.

"Tahun ini memberikan cabaran yang cukup besar kerana saya banyak terbabit dengan penggambaran di kawasan terbuka pada waktu siang sehingga membuatkan badan cepat letih.
"Bagaimanapun, saya mengharungi segala cabaran itu dengan kudrat yang ada. Pernah juga terfikir untuk tolak berlakon pada bulan puasa, tetapi rasa sayang pula kerana tawaran yang diterima memang menarik," ujarnya.

Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran membuatkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dapat dilakukan.

"Sehingga kini baju raya pun saya tak sempat nak beli, malah jadual lakonan saya hanya akan tamat pada hari terakhir umat Islam berpuasa.

"Selepas itu barulah saya akan pulang menyambut hari raya ke kampung halaman di Bachok, Kelantan selama seminggu sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk kembali menjalani penggambaran," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 29 Julai 2013

Moyes henti bida Fabregas


Cesc Fabregas 
 
LONDON - Selepas dua bidaan untuk mendapatkan Cesc Fabregas ditolak, Manchester United bersedia untuk menghentikan pemburuan mendapatkan pemain tengah Barcelona itu.

Pengurus United, David Moyes mula menunjukkan tanda berputus-asa untuk mendapatkan pemain kebangsaan Sepanyol itu apatah lagi jurulatih baharu Barcelona, Gerardo Martino memberitahu Fabregas tidak akan dijual.

"Saya tidak boleh memberitahu bahawa akan ada lagi bidaan selepas ini. Saya juga tidak pernah kata akan mendapatkan pemain itu, sebaliknya saya cuma kata kami akan membuat tawaran tetapi mereka menolaknya," kata Moyes.

United sudah membuat dua kali tawaran untuk mendapatkan Fabregas menerusi bidaan 26 juta pound (RM128 juta) dan 31 juta pound (RM153 juta) tetapi ditolak.

Moyes dalam usaha memperkukuhkan bahagian tengah skuadnya dan turut menolak tawaran Borussia Dortmund untuk mendapatkan Shinji Kagawa.

Sementara itu, Moyes memberitahu tidak akan terburu-buru untuk mendapatkan pemain baharu dalam tempoh terdekat.

"Kami tetap berharap mampu mendapatkan pemain baharu tetapi mungkin dalam masa terdekat ini.
"Bagi saya skuad ketika ini terdiri daripada pemain yang bagus," kata Moyes. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Aksi Selangor, TRW dijangka ‘pukau’ penonton di Shah Alam

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
Aksi Selangor, TRW  dijangka  ‘pukau’ penonton di Shah Alam Forkey Doe (kanan) menjaringkan gol Selangor ketika menewaskan TRW 2-0 di Shah Alam dalam saingan Liga Super, musim lalu. 
 
Kuala Lumpur: Pertembungan naib juara Liga Super, Selangor dan juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Khamis ini dijangka mampu menarik minat sekitar 1,000 penyokong kedua-dua pasukan meskipun ia berlangsung di bulan Ramadan.

Dalam dua pertemuan Liga Super musim ini, Selangor berjaya menewaskan skuad The Red Warriors (TRW) 2-0 di Shah Alam menerusi jaringan Francis Forkey Doe dan Ramez Dayoub sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Kota Bharu.
Tiket RM7


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru, Rosman Mohd Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa mengenakan bayaran tiket RM7 untuk penonton dewasa kerana perlu menampung kos anggota keselamatan.

“Kami jangka perlawanan ini mungkin akan dihadiri sehingga 1,000 penonton dari kedua-dua pasukan, jadi kami perlu memanggil anggota keselamatan dari polis dan Rela untuk memastikan keadaan di tempat duduk penonton terkawal. Ia membabitkan kos dan sebab itulah bayaran tiket RM7 dikenakan,” kata Rosman ketika dihubungi, semalam.

Rosman berkata, kaunter tiket akan dibuka mulai jam 5.30 petang pada hari perlawanan sehingga sepak mula pada jam 9.45 malam.

Kedua-dua pasukan dalam persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini dengan Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama Tentera, Sime Darby dan Johor manakala Kelantan dalam Kumpulan C bersama Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan. 
 
Berita Harian

Bayern sedia tawar RM198.2j dapatkan Luiz

 
Munich: Bayern Munich bersedia menawarkan £40 juta (RM198.2 juta) kepada Chelsea untuk mendapatkan khidmat David Luiz, 26.

Jurulatih Bayern, Pep Guardiola mahukan bintang Brazil itu sejak berada di Barcelona dan kini selepas berpindah ke pasukan juara Eropah itu, Guardiola sedia untuk kembali menyambar Luiz selepas tertarik dengan peranannya membantu Brazil menjuarai Piala Konfederasi, bulan lalu.
Luiz, baru kembali untuk latihan pra-musim bersama Chelsea di bawah kendalian pengurus baru, Jose Mourinho tetapi kekalahan 4-2 Bayern kepada Borussia Dortmund pada Piala Super Jerman, Sabtu lalu membimbangkan Guardiola untuk mengukuhkan barisan pertahanannya.


“Persembahan Bayern pada perlawanan itu mendedahkan beberapa kelemahan yang membuatkan Guardiola percaya ia mampu diselesaikan jika dia membawa masuk Luiz,” kata sumber dalaman kelab itu.

Agensi

Berita Harian

Penyerang Ecuador mati mengejut di Qatar

Penyerang Ecuador mati mengejut di Qatar GAMBAR fail menunjukkan Christian Benitez meraikan jaringannya pada perlawanan menentang Pachuca pada kejohanan Apertura 2012 Mexico di Stadium Azteca pada November 2012. - Foto AFP
 
QUITO: Penyerang Ecuador, Christian Benitez mati mengejut dalam usia 27 tahun, demikian menurut agennya, Jose Chamorro, hari ini.

Bercakap dalam siaran televisyen Ecuadorian Gama TV, Chamorro mendakwa, Benitez yang juga dikenali sebagai “Chucho”, mengalami serangan jantung.
Dia dikatakan mengadu bahawa dadanya sakit sebelum dibawa ke hospital dan meninggal dunia, semalam.


Benitez, penjaring terbanyak Liga Mexico musim lalu bersama Club America, baru saja menandatangani kontrak beraksi dengan kelab Qatar, El-Jaish.

Dia juga sudah tiba di Qatar untuk menjalani ujian pemeriksaan kesihatan.

El-Jaish dalam satu kenyataan berkata, Benitez turut beraksi dengan pasukannya menentang Qatar Sports Club bagi merebut Piala Sheikh Jassem tanpa mengadu sakit atau mengalami sebarang masalah kesihatan.

Menteri Dalam Negeri Ecuador, Jose Serrano dalam laman Twitternya melahirkan ucapan takziah kepada pemain itu yang pernah beraksi untuk kelab Inggeris, Birmingham City untuk satu musim.
“Kepada Chucho yang disayangi, terima kasih kerana jaringan gol anda dan kegembiraan anda," kata Serrano.

Benitez antara pemain utama bagi jurulatih Reinaldo Rueda dari Colombia yang membimbing skuad kebangsaan Ecuador bagi saingan Piala Dunia Brazil, tahun depan.

Ecuador berharap layak ke Piala Dunia yang kini menduduki tempat ketiga dalam kumpulan kelayakan Amerika Selatan. - AFP 

Berita Harian

Moyes sangkal spekulasi


MOYES (kiri) menyangkal spekulasi yang mendakwa beliau melancarkan persengketaan dengan Mourinho.


LONDON - Pengurus Manchester United, David Moyes menyangkal spekulasi yang mendakwa beliau melancarkan persengketaan dengan pengendali Chelsea, Jose Mourinho.

Moyes mendedahkan mengenai perkara itu selepas Mourinho yang membimbing skuad The Blues buat kali kedua mengesahkan bahawa beliau berazam untuk mendapatkan khidmat penyerang United, Wayne Rooney.

Penyerang antarabangsa England itu menjadi sasaran utama bekas jurulatih Real Madrid itu musim depan.

Mourinho dilaporkan melancarkan perang psikologi apabila mendakwa rakan sejawatannya, Moyes merupakan pengurus yang cukup bertuah kerana mewarisi pasukan hebat daripada bekas pengendali, Alex Ferguson.

Perang psikologi itu tercetus selepas Moyes mendakwa beliau tidak gentar dengan situasi itu.
Begitupun, Moyes tampil dengan nada berbeza apabila beliau menegaskan bahawa tiada sebarang konflik berlaku dan perang mulut adalah situasi normal buat pengurus-pengurus pasukan.

"Mourinho merupakan seorang pengendali yang cukup hebat. Beliau telah membuktikannya pada aksi Liga Perdana England.

"Ketika beliau dipecat (pada 2007), saya telah menulis surat kepadanya.

"Jadi, mana-mana pihak menganggap kami mengalami persengketaan, tanggapan itu silap.

"Perkara ini (perang mulut) sudah biasa bagi pengurus-pengurus tetapi saya cukup meminati pencapaian Mourinho sebagai pengurus," tambah Moyes. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Levy 'kunci mulut'



BALE akan kekal dengan Tottenham musim depan meskipun mendapat tawaran lumayan daripada Real.


LONDON - Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy bertindak 'mengunci mulut' berhubung tawaran rekod dunia yang dikemukakan Real Madrid bagi mendapatkan Gareth Bale.

Levy, 51, memberi kata putus bahawa tiada lagi perbincangan berkaitan pemain antarabangsa Wales itu.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan menjual Bale pada musim panas ini walaupun Real menawarkan bidaan yang berlipat kali ganda.

Meskipun sebelum ini Bale semakin hampir untuk berpindah ke Real, Levy berkeras menolak tawaran lumayan Real bernilai £51 juta (RM253.4 juta) ditambah dengan dua bintang mereka, Angel Di Maria dan Fabio Coentrao, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan £95 juta (RM471.9 juta).

Minggu lalu, akhbar-akhbar tempatan kembali meniupkan spekulasi mengenai hasrat Real untuk menjadikan Bale sebagai pemain terbaharu skuad The Galactico.

Namun, Levi pantas menafikan hasrat Real tersebut dan Spurs juga turut membuat satu pembelian besar dengan membawa masuk bintang Valencia, Roberto Soldado dengan nilai £26 juta (RM129.1 juta).

Sementara itu, satu sumber daripada Real mendakwa Bale merupakan sasaran utama kelab itu.
"Bale merupakan pilihan utama. Kami akan berusaha mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Kami berharap proses bidaan terhadap Bale akan berjalan lancar," menurut sumber itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jang harap keajaiban



NAZRIN (dua dari kanan) dikaitkan dengan dua pasukan gergasi Liga M selepas menampilkan aksi yang memberangsangkan bersama Negeri Sembilan sepanjang musim ini.


NEGERI Sembilan mengharapkan keajaiban pada kempen Piala Malaysia 2013.
Diundi bersama tiga pasukan gergasi pantai timur termasuk juara bertahan, Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam Kumpulan C, peluang anak-anak buah pengendali sementara, Ridzuan Abu Shah untuk melepasi peringkat kumpulan dianggap sukar.

Tambahan pula, prestasi skuad Hoben Jang Hoben musim ini tidak mencapai tahap sebenar selepas sekadar menghuni tangga tercorot pada kempen Liga Super, sekali gus tersingkir pada saingan Liga Premier musim depan.

Selain itu, mereka juga terpaksa menewaskan Sabah pada aksi playoff untuk mengesahkan slot ke pertandingan paling berprestij di Malaysia itu.

Namun, Ridzuan yang mengambil-alih tugas Divaldo Alves dari Portugal pada Mei lalu ada strategi tersendiri untuk menghadapi cabaran itu.

“Kalau dilihat daripada keputusan undian, memang kami berada dalam satu ‘kumpulan maut’. Saya akui, ini adalah satu kumpulan yang sukar.

“Namun, berdasarkan pencapaian ketika-tiga pasukan itu sepanjang musim ini, hanya Kelantan boleh dianggap konsisten dan menjadi pencabar utama.

“Saya bukan menafikan kekuatan Terengganu dan Pahang tetapi saya rasa, kami mampu memberikan saingan yang sengit kepada mereka. Kami juga memiliki beberapa pemain yang hebat dan sedang meningkat naik.

“Apa yang patut kami lakukan adalah berusaha bersungguh-sungguh dan menampilkan aksi yang terbaik,” kata Ridzuan kepada Kosmo! semalam.

Ridzuan berkata, misi pertamanya ketika ini adalah memujuk pemain sayap, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi yang diburu dua pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) iaitu Kelantan dan Johor Darul Takzim supaya kekal dengan pasukan itu musim depan.

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan berusia 25 tahun itu menjadi watak utama yang membantu Negeri Sembilan selaku juara tiga kali (pada 1948, 2009 dan 2011) itu melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Nazrin yang ketika ini bersama skuad Harimau Malaya di Jepun meledakkan hatrik ketika Negeri Sembilan menewaskan Sabah 4-0 pada aksi playoff di Stadium Shah Alam, 10 Julai lalu.

“Saya akan berbincang dengan Nazrin sebaik dia balik dari Jepun nanti. Saya akan cuba memujuknya supaya kekal dengan kami musim depan. Saya memang mahu dia kekal di sini. 

“Selain itu, dia perlu ingat bahawa namanya menjadi sebutan ketika dia bermain dengan kami. Jadi, saya harap dia tidak akan mengecewakan kami,” kata Ridzuan.

Ridzuan berkata, beliau tidak ada hak untuk menghalang Nazrin daripada meninggalkan pasukan itu tetapi berharap dia akan memikirkan semula tawaran yang diterima.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Lions XII tidak tertekan

Oleh NOR AZIRAN YUNUS


SHAHRIL (kanan), salah seorang daripada tiga pemain yang melebihi usia 23 tahun dalam skuad Lions XII.


JUARA Liga Super, Lions XII tidak mahu mendabik dada.
Wakil dari Singapura itu lebih selesa jika dianggap sebagai pasukan bukan pilihan pada kempen Piala Malaysia 2013 yang bakal membuka tirainya 20 Ogos nanti.

Jurulatihnya, V. Sundramoorthy berkata, status selaku juara Liga Super bukan jaminan buat mereka untuk berasa selesa pada kempen Piala Malaysia itu.

Menurutnya, sudah menjadi tradisi dalam saingan paling berprestij di Malaysia itu, semua pasukan perlu bekerja keras untuk menjadi juara.

"Pasukan saya dibarisi pemain muda bawah 23 tahun dan mereka perlu bekerja keras dalam saingan Piala Malaysia. Saya juga melihat kami akan beraksi tanpa sebarang tekanan.

"Bagi saya, pasukan-pasukan elit lain yang dibarisi pemain senior dan pemain-pemain import yang hebat, perlu lebih merasai tekanan. Bagi kami, sebagai sebuah pasukan muda, kami lebih selesa beraksi sebagai sebuah pasukan bukan pilihan," kata Sundramoorthy ketika ditemui Kosmo!, baru-baru ini.

Tegasnya, beliau turut berpuas hati dengan undian Piala Malaysia kali ini yang menyaksikan Lions XII diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Perak, Sarawak dan Kedah.
Sundramoorthy berkata, beliau meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan, sekali gus mara ke suku akhir.

"Selepas melepasi peringkat kumpulan dan beraksi di suku akhir, barulah kami mencongak peluang seterusnya dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

"Selain itu, walaupun kami tidak pernah tewas dalam saingan Liga Super ketika beraksi di gelanggang sendiri, sukar untuk saya nyatakan dalam saingan Piala Malaysia nanti. Dalam bola sepak, apa juga perkara boleh berlaku dan ia sangat sukar untuk dijangka.

"Saya berpendapat, jika kami menampilkan aksi yang sama (dalam Liga Super) ketika beraksi di Stadium Jalan Besar itu nanti, tidak mustahil sasaran awal ke suku akhir tidak sukar untuk dicapai," katanya.

Dalam saingan kali ini, hanya tiga pemain tonggak yang melebihi usia 23 tahun membantu pasukan Lions XII iaitu ketua pasukan, Shahril Ishak, Isa Halim dan Baihakki Khaizan, manakala selebihnya adalah para pemain skuad Bawah-23 (B-23) tahun Singapura.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Masa untuk Rajagobal berundur


RAJAGOBAL (kanan) dikritik hebat selepas Harimau Malaya dibelasah 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare pada Sabtu lalu.


SITUASI Harimau Malaya semakin kritikal selepas mempamerkan persembahan tidak menentu sepanjang mengharungi siri perlawanan persahabatan di Jepun sejak 23 Julai lalu.

Ramai pemerhati menganggap rekod dua kemenangan daripada 12 perlawanan persahabatan di pentas antarabangsa itu tidak dapat memberikan satu keputusan yang positif buat skuad negara.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare Sabtu lalu.

Kekalahan itu tidak dapat membendung kemarahan khususnya dalam kalangan peminat-peminat Harimau Malaya.

Rajagobal turut dikecam hebat selepas ranking skuad negara statik di tangga ke-159 dunia kerana Harimau Malaya lebih berminat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan berstatus kelab.
Ramai pengkritik menganggap tindakan tepat untuk menyelamatkan maruah skuad negara ialah dengan memecat Rajagobal yang cukup sinonim dengan pendekatan mahu menguji pemain atau bereksperimen.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (gambar kecil) berkata beliau menganggap tindakan untuk memecat Rajagobal bukan satu jalan penyelesaian tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh menilai keupayaan bekas jurulatih Selangor itu.

"Saya rasa, prestasi pasukan negara selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala AFF Suzuki 2010 tidak mampu bertahan sehingga sekarang.

"Rajagobal dilihat semakin 'kuat' biarpun beliau sering menerima kritikan dan pandangan sinis daripada bekas-bekas pemain serta jurulatih kebangsaan.

"Pecat jurulatih bukan satu titik noktah atau sesuatu yang baik buat pasukan tetapi pengurusan (FAM) perlu memandang serius terhadap teguran daripada pihak luar.

"Tidak hanya berminat untuk mencuba pemain bagi mewakili negara tetapi paling mustahak, beliau harus mengambil berat mengenai ranking skuad negara dan pandangan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Timbalan Presiden FAM) serta Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Tengku Abdullah menggesa Rajagobal memantapkan skuad kendaliannya bagi menghadapi perlawanan penting termasuk menentang Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Baginda bertitah, ia bukan masa terbaik buat Rajagobal untuk terus menguji skuad kendaliannya selain mendesak Harimau Malaya mempamerkan persembahan lebih menyakinkan.

Sementara itu, pemain legenda Kelantan, Dali Omar tampil dengan nada berbeza apabila beliau menganggap jurulatih berusia 57 tahun itu telah kehabisan idea untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya.

"Kalau saya, sudah lama pecat (Rajagobal) dan perkara ini sepatut berlaku dua tahun lalu. Dulu beliau pernah berjanji nak letak jawatan secara sukarela.

"Saya sangat menyokong kenyataan Tengku Abdullah. Bagi saya, taktik Rajagobal sudah hancur. Jangan nak eksperimen lagi. Mungkin (kaedah) itu sesuai dengan budak sekolah sahaja," katanya.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyokong penuh kenyataan Dali dengan menegaskan, Rajagobal perlu berundur dengan cara hormat.

"Rajagobal memang bagus tetapi beliau sudah sampai ke tahap tepu. Setiap orang ada batas dan tahapnya.

"Sejujurnya, beliau tidak boleh lagi untuk membimbing Harimau Malaya. Nasihat saya, berundurlah. Orang akan marah jika anda kekal lebih lama.
"Kita perlukan seseorang yang lebih baik," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Pertaruhan bakat Zizan, Lisa, Fizz




SPIDERMAN, Superman dan Batman antara naskhah adi wira popular yang telah banyak kali menukar teraju utamanya.

Tidak salah untuk menyatakan bahawa setiap penerbitan siri filem adi wira tersebut mengikut zon zaman berbeza memberikan impak yang berasingan, malah penceritaan juga dinamik dan sering diolah supaya kena dengan situasi semasa.

Begitu juga sekuel kedua filem Cicakman iaitu Cicakman 3 yang bakal memula- kan penggambaran tidak lama lagi.

Tiga teraju utama asal iaitu Saiful Apek, Fasha Sandha dan Aznil Nawawi masing-masing kini diganti oleh Zizan Razak, Lisa Surihani dan Fizz Fairuz.

Ramai yang barangkali menyangka bahawa Cicakman 3 menampilkan karakter baharu menggantikan watak asal Hairi (lakonan Saiful Apek) menerusi Cicakman dan sekuelnya, Cicakman 2 - Planet Hitam yang merupakan adiwira Cicakman di bandar Metrofulus.

Hakikatnya, menurut pengarah Cicakman 3, Yusri Abdul Halim, filem itu pada dasarnya adalah kesinambungan kepada kehidupan adi wira Cicakman baharu dan watak Hairi yang digalas Saiful Apek sebelum ini tidak dimatikan secara total.

“Karakter Hairi (Saiful Apek) dikatakan telah merajuk dan berjauh hati untuk terus berkhidmat sebagai Cicakman, namun dia bakal digantikan oleh Man yang dilakonkan oleh Zizan,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman Cicakman 3 di Peninsula Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut perkembangan karakter Man atau Cicakman, heroin baharu Linda dan watak antagonis Adam atau SuperBro, Zizan, Lisa dan Fizz berkongsi pandangan.

Zizan enggan dibayangi Apek
Perbandingan pastinya perkara pokok yang timbul setiap kali muncul sekuel adi wira dan Zizan harus mengakui situasi itu sedikit sebanyak akan tercetus apabila filem tersebut ditayangkan kelak.

“Apek ada karakter dan bahasa badan dia sendiri sebagai seorang Cicakman. Begitu juga saya, maka masing-masing mempunyai keunikan sendiri dan penonton harus akur akan hal ini. 

“Soal perbandingan sudah menjadi kelaziman tapi anggap saja sekuel baharu adalah permulaan dan penerimaan watak baharu,” jelasnya.
FIZZ, Lisa Surihani dan Zizan dijangka memberi suntikan baharu dan lebih segar buat siri terbaharu francais Cicakman.


Menerima tawaran membintangi Cicakman 3, kata Zizan, selain mempunyai skrip dan jalan cerita yang menarik, filem itu juga merealisasikan impiannya bergandingan dengan Lisa Surihani sebagai pasangan suami isteri.

“Pertama kali saya melakonkan watak sebagai seorang suami dan itu juga antara sebabnya saya menerima tawaran ini.

“Berlakon dengan Lisa yang kehidupan realitinya seorang isteri kepada penga- rah filem ini perlu profesional. Memang mula-mula rasa kekok tapi saya membayangkan saya bercinta dengan watak Linda bukannya Lisa.

“Untuk menjadi seorang adi wira, seseorang itu perlulah kental dan harus bersedia luar dan dalam. Saya bangga, terkejut dan teruja untuk mula beraksi dalam Cicakman 3,” kata Zizan yang cuba untuk melakukan lagak ngerinya sendiri.

Yusri minta Lisa mesra

Bekerja di bawah arahan suami sendiri pada mulanya bukan perkara mudah bagi Lisa Surihani.
Namun, bagi pendukung watak Linda dalam Cicakman 3, dia menganggap situasi itu sebagai tanggungjawabnya sebagai anak seni.

“Saya teruja sebenarnya untuk bekerja di bawah arahan suami sendiri. Di set penggambaran kami adalah pekerja dan perlu profesional tapi apabila di rumah hubungan kami adalah suami isteri.
“Yusri merupakan seorang yang terbuka terutama proses manipulasi watak. Di depan dia sendiri saya dan Zizan membina keserasian dan dia yang mengarahkan untuk saya lebih mesra dengan watak utama iaitu Man.

“Ketika sesi bacaan skrip awal juga, Yusri yang memberikan nama timang- timangan manja untuk saya dan Zizan supaya lebih nampak semula jadi.

“Sejujurnya, memang kami tiada isu untuk saya berlakon bersama lelaki lain sementelah memegang watak sebagai seorang isteri. 

“Yusri bukan seorang yang senang cemburu dan apa saja yang pengarah mahukan saya sebagai pelakon perlu mencuba walaupun pengarah itu bukan suami saya sendiri,” tegasnya.
Lisa menyifatkan watak Linda seorang yang idealis dan mencintai Man disebabkan sifat jejaka itu yang kelakar, malah watak tersebut bukan seorang wanita yang terlalu kompleks.
FIZZ sekali lagi bergandingan bersama Zizan menerusi naskhah Cicakman 3 selepas sama-sama membintangi filem Hantu Kapcai pada tahun lepas.


Fizz adiwira kedua
Muncul sebagai SuperBro dalam Cicakman 3, watak itu bertindak sebagai iaitu adiwira baharu di bandar Metro- fulus iaitu SuperBro selepas ketiadaan Cicakman (Hairi). 

Namun, Adam bertukar menjadi antagonis apabila Cicakman baharu iaitu Man muncul.
Berpeluang bergandingan dengan Zizan, Fizz mengakui cukup teruja kerana mereka pernah bergandingan dalam filem Hantu Kapcai pada tahun lalu.

“Saya dan Zizan pernah digandingkan bersama sebelum ini dan rasanya tidak sukar untuk saya ‘menumpaskan’ dia sebagai lawan saya kali ini.

“Apabila ditawarkan watak seorang anggota polis bernama Adam yang juga merupakan adi wira baharu di kota Metrofulus iaitu SuperBro, adalah sukar untuk saya menolak tawaran ini.
“Watak Adam sedikit kompleks berbanding watak Man yang berubah menjadi Cicakman. 

Adam pada masa sama menjadi SuperBro tapi di lain ketika cuba merebut kembali cintanya kepada Linda,” tambahnya.

Cicakman 3 amat relevan dengan latar emosi manusia yang mempunyai jenaka, drama, konflik kekeluargaan, dendam, cinta dan tamakkan kuasa.

Filem itu mengisahkan Man, peminat tegar Cicakman yang kecewa kerana terpaksa berpisah dengan isterinya, Linda dan anaknya, Boboy lalu cuba membuktikan dia mampu berubah.

Keadaan semakin tertekan apabila Adam, bekas rakan persekolahan mereka cuba memenangi hati Linda, namun kehidupan Man pula berubah apabila dia menemui sebuah kotak rahsia peninggalan Cicakman dan Man belajar menjadi Cicakman baharu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my