LONDON - Gareth Bale dijangka kekal dengan Tottenham Hotspur selepas melaungkan amaran untuk membantu kelab Liga Perdana England itu menyambar slot Liga Juara-Juara musim depan.
Ketika ini, Real Madrid semakin serius untuk memburu khidmat pemain
sayap berusia 24 tahun itu dan bersedia mengemukakan tawaran bernilai
£80 juta (RM391.8 juta).
Skuad The Galacticos mahu menggandingkan Bale dengan Cristiano Ronaldo di Stadium Santiago Bernabeu di bawah pengurus baharu, Carlo Ancelotti.
Namun, Bale mahu kekal di White Hart Lane selepas Spurs dikatakan
bersetuju menawarkan kontrak baharu yang menawarkan gaji mencecah
£150,000 (RM734,626) seminggu.
"Sudah tentu Spurs mampu beraksi pada kempen Liga Juara-Juara, jika sebaliknya, tiada gunanya saya bersama kelab ini.
"Saya percaya masanya akan tiba dan akan memberikan yang terbaik bagi
membuktikan bahawa kami mampu layak ke kempen Liga Juara-Juara," kata
Bale.
Selain menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik, Bale
juga percaya Spurs mampu mendakap trofi Liga Perdana England musim ini.
"Kami memiliki skuad yang terbaik untuk memberikan cabaran, jadi tiada alasan mengapa kami gagal melakukannya.
"Segala-galanya terpulang bagaimana kami mengekalkan corak permainan yang konsisten," kata Bale.
Pada masa sama, Bale turut mengalu-alukan kehadiran pemain baharu
termasuk Paulinho yang dilihat berupaya membantu Spurs merealisasikan
sasaran mereka musim depan.
"Saya menyaksikan cara Paulinho beraksi pada kempen Piala Konfederasi dan percaya dia pemain yang hebat.
"Sudah tentu kehadirannya menjadikan kami bertambah mantap musim depan," kata Bale. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan