BERLIN - Pep Guardiola bakal berdepan bekas kelabnya apabila Bayern
Munich melayan kunjungan Barcelona pada satu aksi persahabatan di
Allianz Arena esok.
Begitupun, Barcelona dijangka tiba di Munich tanpa kehadiran
jurulatih selepas Tito Vilanova meletak jawatan atas faktor kesihatan
minggu lalu.
Barcelona mencapai persetujuan untuk melantik Gerardo Martino sebagai pengurus selama dua tahun semalam.
Guardiola yang menerajui skuad The Bavarians bulan lalu juga
pastinya tidak dapat melupakan kenangan manis semasa mengendalikan
Barcelona memenangi 14 gelaran dari 2008 hingga 2012.
Beliau turut berjaya membeli pemain muda Barcelona, Thiago Alcantara
bagi memantapkan jentera tengah Bayern yang dibarisi pemain berkaliber
seperti Arjen Robben dan Franck Ribery.
Namun, Guardiola dilihat masih belum dapat melupakan sengketa lama dengan pihak pengurusan skuad The Catalan
yang didakwa menuduh beliau tidak pernah melawat Vilanova ketika
menjalani pembedahan tekak di New York, Amerika Syarikat pada Disember
lalu.
"Mereka sengaja menjadikan isu tersebut untuk memburukkan imej saya.
"Tuduhan saya tidak bertemu dengan Vilanova semasa di New York sememangnya mengarut," tegas Guardiola.
Dalam pada itu, kedua-dua pasukan dijangka tidak menurunkan barisan terkuat masing-masing.
Bayern dijangka tempang tanpa kehadiran Bastian Schweinsteiger dan Mario Goetze yang belum pulih daripada kecederaan.
Skrip yang sama juga menimpa Barcelona apabila masih belum dapat
menagih khidmat kapten, Carles Puyol yang bergelut untuk mengembalikan
semula tahap kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut, Mac lalu.
Pada masa sama, Barcelona juga pasti mahu menjadikan perlawanan itu
sebagai medan membalas dendam apabila dimalukan Bayern dengan agregat
0-7 pada aksi separuh akhir kempen Liga Juara-Juara musim lalu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan