Selasa, 30 Julai 2013

'Beri Rajagobal peluang'


BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ibrahim Saad berpendapat Datuk K. Rajagobal harus diberi peluang membimbing skuad Harimau Malaya sehingga berakhirya kempen kelayakan Piala Asia 2015 tahun depan.

Ibrahim berkata, tindakan untuk memecat Rajagobal, 57, bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan prestasi merudum skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, Ibrahim menjelaskan bahawa Rajagobal dan anak-anak buahnya harus mengembalikan semula keyakinan serta kepercayaan peminat tempatan.

"Caranya ialah meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang dilalui termasuk aksi persahabatan.

"Saya fikir Rajagobal masih belum terlambat tetapi kali ini, beliau harus mendengar pendapat dan pandangan daripada 'orang-orang lama' serta bekas pemain kebangsaan.

"Saya lihat pendekatan itu tidak akan merugikan Rajagobal, malah beliau akan mendapat input tambahan dan berguna bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap.

"Secara peribadi, saya berasakan bahawa Rajagobal harus diberi peluang, sekurang-kurangnya hingga tamat kelayakan Piala Asia nanti," jelas Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak beberapa bulan lalu, pemerhati dan peminat bola sepak tempatan seakan-akan sudah hilang sabar dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya sehingga ada dalam kalangan mereka mahukan Rajagobal dipecat.

Semuanya gara-gara keputusan buruk yang dilakar oleh anak-anak buah Rajagobal yang menyaksikan mereka sekadar meraih dua kemenangan sepanjang 12 perlawanan yang diharungi tahun ini.

Selain meraih kemenangan 2-1 ke atas Yemen dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac lalu, Harimau Malaya menang 4-0 ketika menentang kelab Australia, Sydney Olympic pada perlawanan persahabatan bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan, Rajagobal tidak perlu 'berdendam' dengan setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya dan skuad Harimau Malaya.

"Rajagobal tidak boleh berkecil hati, sudah menjadi perkara biasa seseorang jurulatih dihentam atau dikritik.

"Kita beri peluang dahulu kepada Rajagobal untuk meneruskan perancangannya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015. 

"Harap peminat dapat bersabar kerana pertukaran jurulatih belum tentu dapat memperbaiki prestasi skuad negara dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan