Isnin, 29 Julai 2013

Buru aksi lebih kompetitif



IMBAS kembali... Pemain-pemain Harimau Muda bergambar sebaik tiba di tanah air setelah memenangi Newspaper Cup di Vietnam tahun lalu.


TATKALA Harimau Malaya dilihat lebih gemar menjadikan pasukan berstatus kelab sebagai lawan, lain pula ceritanya dengan ‘adik’ mereka iaitu Harimau Muda.

Ini kerana, skuad muda negara yang sedang ‘berguru’ di Slovakia tidak akan mempertahankan trofi Newspaper Cup yang dimenangi mereka di Vietnam tahun lalu.

Sebaliknya, skuad kendalian Ong Kim Swee bakal diuji dengan lawan yang lebih kompetitif menerusi beberapa aksi persahabatan sebaik saingan Pestabola Merdeka melabuhkan tirainya di Kuantan pada 15 September depan.

Kim Swee berkata, cabaran negara pada kejohanan jemputan Newspaper Cup pada Oktober depan bakal digalas Harimau Muda B yang dikendalikan Razip Ismail.

“Selepas saingan Pestabola Merdeka berakhir, kami akan mengharungi beberapa aksi persahabatan yang lebih kompetitif sebagai persediaan memburu kejuaraan hatrik emas bola sepak temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.

“Justeru, persoalan mengenai siapa lawan kami dalam aksi persahabatan itu nanti bakal diumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (Datuk Hamidin Mohd. Amin) pada masa terdekat,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, skuad kendalian Kim Swee berjaya melakar sejarah menjuarai Newspaper Cup buat kali pertama tahun lalu apabila mengecewakan tuan rumah, Vietnam 1-0 hasil jaringan tunggal Ahmad Hazwan Bakri.

Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu senarai akhir pemain Harimau Muda yang bakal beraksi dalam Pestabola Merdeka juga bakal diketahui sekembalinya mereka ke tanah air sempena Aidilfitri pada 6 Ogos depan.

“Buat masa ini, saya bercadang mengumpulkan pemain terbaik yang berusia bawah 23 tahun termasuk daripada negeri dan juga kelab bagi mengharungi Pestabola Merdeka.

“Ia akan diumumkan sekembalinya Harimau Muda dari Slovakia dan saya harap barisan pemain terpilih mampu merealisasikan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke final kejohanan itu nanti,” kata Kim Swee.

Untuk rekod, antara pemain muda yang pernah menggamit perhatian Kim Swee bagi mengharungi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Rusia tempoh hari termasuklah Junior Eldstal (Sarawak); Zubir Azmi (Terengganu) dan juga tonggak pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Ab Halim namun mereka tidak dilepaskan majikan masing-masing.

Selepas ini, Harimau Muda bakal ‘menutup buku’ di Slovakia berdepan Vion FC dalam aksi persahabatan terakhir mereka, esok sebelum pulang bercuti kira-kira seminggu sempena Aidilfitri dan hanya akan kembali menjalani latihan di tanah air sempena Pestabola Merdeka pada 12 Ogos depan.

Harimau Muda juga berjaya melakar kemenangan pada aksi terakhir mereka sebelum ini setelah mengatasi kelab divisyen dua Slovakia, FK Pohronie 3-2 pada 23 Julai lalu sebaik menamatkan saingan Universiade di tempat kelapan baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan