NEGERI Sembilan mengharapkan keajaiban pada kempen Piala Malaysia 2013.
Diundi bersama tiga pasukan gergasi pantai timur termasuk juara
bertahan, Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam Kumpulan C, peluang
anak-anak buah pengendali sementara, Ridzuan Abu Shah untuk melepasi
peringkat kumpulan dianggap sukar.
Tambahan pula, prestasi skuad Hoben Jang Hoben musim ini tidak
mencapai tahap sebenar selepas sekadar menghuni tangga tercorot pada
kempen Liga Super, sekali gus tersingkir pada saingan Liga Premier musim
depan.
Selain itu, mereka juga terpaksa menewaskan Sabah pada aksi playoff
untuk mengesahkan slot ke pertandingan paling berprestij di Malaysia
itu.
Namun, Ridzuan yang mengambil-alih tugas Divaldo Alves dari Portugal
pada Mei lalu ada strategi tersendiri untuk menghadapi cabaran itu.
“Kalau dilihat daripada keputusan undian, memang kami berada dalam
satu ‘kumpulan maut’. Saya akui, ini adalah satu kumpulan yang sukar.
“Namun, berdasarkan pencapaian ketika-tiga pasukan itu sepanjang
musim ini, hanya Kelantan boleh dianggap konsisten dan menjadi pencabar
utama.
“Saya bukan menafikan kekuatan Terengganu dan Pahang tetapi saya
rasa, kami mampu memberikan saingan yang sengit kepada mereka. Kami juga
memiliki beberapa pemain yang hebat dan sedang meningkat naik.
“Apa yang patut kami lakukan adalah berusaha bersungguh-sungguh dan
menampilkan aksi yang terbaik,” kata Ridzuan kepada Kosmo! semalam.
Ridzuan berkata, misi pertamanya ketika ini adalah memujuk pemain
sayap, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi yang diburu dua pasukan gergasi Liga
Malaysia (Liga M) iaitu Kelantan dan Johor Darul Takzim supaya kekal
dengan pasukan itu musim depan.
Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan berusia 25 tahun itu menjadi watak
utama yang membantu Negeri Sembilan selaku juara tiga kali (pada 1948,
2009 dan 2011) itu melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini.
Nazrin yang ketika ini bersama skuad Harimau Malaya di Jepun
meledakkan hatrik ketika Negeri Sembilan menewaskan Sabah 4-0 pada aksi
playoff di Stadium Shah Alam, 10 Julai lalu.
“Saya akan berbincang dengan Nazrin sebaik dia balik dari Jepun
nanti. Saya akan cuba memujuknya supaya kekal dengan kami musim depan.
Saya memang mahu dia kekal di sini.
“Selain itu, dia perlu ingat bahawa namanya menjadi sebutan ketika
dia bermain dengan kami. Jadi, saya harap dia tidak akan mengecewakan
kami,” kata Ridzuan.
Ridzuan berkata, beliau tidak ada hak untuk menghalang Nazrin
daripada meninggalkan pasukan itu tetapi berharap dia akan memikirkan
semula tawaran yang diterima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan