Selasa, 23 Julai 2013

'Jangan buang masa'



PIQUE (kanan) menasihati United agar tidak membuang masa untuk menandatangani Fabregas musim panas ini.


LONDON - Manchester United dinasihatkan supaya tidak membazirkan masa untuk mengemukakan tawaran ketiga terhadap Cesc Fabregas.

Juara Liga Perdana England itu berura-ura mahu membuat tawaran berjumlah £35 juta (RM170.6 juta) ke atas perancang Sepanyol itu selepas Barcelona menolak tawaran kedua berjumlah £31 juta (RM151.1 juta).

"United sebenarnya hanya membazirkan masa mereka sahaja.
"Fabregas terpaksa mengambil masa yang lama untuk memenuhi impiannya kembali ke Barca dan sudah tentu dia tidak akan menyerah kalah.

"Ini adalah tempat asalnya, kami diibaratkan seperti sebuah keluarga dan dia juga seronok beraksi bersama rakan-rakan baiknya.

"Dia telah beritahu kami bahawa dia gembira di sini dan mahu terus kekal bersama Barcelona," kata rakan sepasukan Fabregas di Stadium Nou Camp, Gerard Pique.

Tawaran asal United bernilai £26 juta (RM126.7 juta) terhadap bekas kapten Arsenal itu telah ditolak serta merta oleh Barca minggu lepas.

Barca turut memberi reaksi yang sama apabila Ketua Eksekutif United, Ed Woodward mengemukakan tawaran kedua dengan menaikkan jumlah tawaran kepada £31 juta (RM151.1 juta) kelmarin.

Kini pegawai atasan United perlu memutuskan sama ada mahu meneruskan buruan mereka ke atas pemain berusia 26 tahun itu dengan menguji kesabaran Barca sekali lagi.

"Saya rasa, masih ada sebab untuk melakukannya tetapi kalau anda berminat ke atas seorang pemain yang bagus, anda pasti akan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk merealisasikannya. Itu adalah apa yang akan saya lakukan.

"Saya harap perkara ini akan menunjukkan kemajuan," kata Pengurus United, David Moyes.
United juga dikatakan berminat mendapatkan Gareth Bale dari Tottenham Hotspur dan cuba memancing semula Cristiano Ronaldo. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan