Oleh NOR AZIRAN YUNUS
JUARA Liga Super, Lions XII tidak mahu mendabik dada.
Wakil dari Singapura itu lebih selesa jika dianggap sebagai pasukan
bukan pilihan pada kempen Piala Malaysia 2013 yang bakal membuka
tirainya 20 Ogos nanti.
Jurulatihnya, V. Sundramoorthy berkata, status selaku juara Liga
Super bukan jaminan buat mereka untuk berasa selesa pada kempen Piala
Malaysia itu.
Menurutnya, sudah menjadi tradisi dalam saingan paling berprestij di
Malaysia itu, semua pasukan perlu bekerja keras untuk menjadi juara.
"Pasukan saya dibarisi pemain muda bawah 23 tahun dan mereka perlu
bekerja keras dalam saingan Piala Malaysia. Saya juga melihat kami akan
beraksi tanpa sebarang tekanan.
"Bagi saya, pasukan-pasukan elit lain yang dibarisi pemain senior dan
pemain-pemain import yang hebat, perlu lebih merasai tekanan. Bagi
kami, sebagai sebuah pasukan muda, kami lebih selesa beraksi sebagai
sebuah pasukan bukan pilihan," kata Sundramoorthy ketika ditemui Kosmo!, baru-baru ini.
Tegasnya, beliau turut berpuas hati dengan undian Piala Malaysia kali
ini yang menyaksikan Lions XII diundi dalam Kumpulan D bersama-sama
Perak, Sarawak dan Kedah.
Sundramoorthy berkata, beliau meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan, sekali gus mara ke suku akhir.
"Selepas melepasi peringkat kumpulan dan beraksi di suku akhir,
barulah kami mencongak peluang seterusnya dalam kempen Piala Malaysia
kali ini.
"Selain itu, walaupun kami tidak pernah tewas dalam saingan Liga
Super ketika beraksi di gelanggang sendiri, sukar untuk saya nyatakan
dalam saingan Piala Malaysia nanti. Dalam bola sepak, apa juga perkara
boleh berlaku dan ia sangat sukar untuk dijangka.
"Saya berpendapat, jika kami menampilkan aksi yang sama (dalam Liga
Super) ketika beraksi di Stadium Jalan Besar itu nanti, tidak mustahil
sasaran awal ke suku akhir tidak sukar untuk dicapai," katanya.
Dalam saingan kali ini, hanya tiga pemain tonggak yang melebihi usia
23 tahun membantu pasukan Lions XII iaitu ketua pasukan, Shahril Ishak,
Isa Halim dan Baihakki Khaizan, manakala selebihnya adalah para pemain
skuad Bawah-23 (B-23) tahun Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan