BANGKOK - Legenda Liverpool, Ian Rush menganggap skuad The Reds bakal kehilangan aset berharga jika penyerang berbisa, Luis Suarez membuat keputusan meninggalkan Anfield pada musim panas ini.
Ketika ini, masa depan penyerang kelahiran Uruguay itu dengan
Liverpool mencetuskan tanda tanya apabila dia dikatakan mahu mengangkat
kaki dari Anfiled.
Pada masa sama, Arsenal telah mengemukakan tawaran berjumlah £40 juta
(RM196.3 juta) untuk menyambar penyerang berusia 26 tahun itu yang
telah merekodkan 38 gol sejak menyarung jersi Liverpool pada 2011.
"Suarez merupakan seorang penyerang terbaik di dunia. Dia memiliki karisma tersendiri ketika beraksi.
"Sejak menyertai Liverpool, dia telah mencetuskan impak positif
bersama kelab tersebut. Jadi, saya anggap Liverpool akan kehilangan aset
berharga jika Suarez meninggalkan Anfield.
"Pada pandangan peribadi saya, Liverpool seharusnya 'mengikat' Suarez
dengan apa cara sekalipun bagi membolehkan dia terus kekal bersama
kelab itu," jelas Rush semalam.
Bagaimanapun, Rush tetap mahu Liverpool bersedia dengan sebarang
kemungkinan jika Suarez membuat keputusan meninggalkan Anfield sebelum
kempen Liga Perdana England membuka tirainya bulan depan.
"Saya difahamkan Arsenal telah membuat tawaran untuk mendapatkan
khidmat Suarez tetapi masih belum ada sebarang keputusan dibuat oleh
pihak pengurusan Liverpool mahupun pemain itu sendiri.
"Namun, jika Suarez membuat keputusan untuk mengubah haluan baharu,
Liverpool seharusnya mencari pengganti yang sesuai bagi mengetuai
jentera serangan mereka.
"Saya percaya Suarez akan membuat keputusan yang betul bagi
menentukan hala tuju dalam kariernya selepas ini," kata Rush yang
menyumbang 139 gol sepanjang kariernya bersama Liverpool bermula tahun
1980 hingga 1987.
Terdahulu, pengurus Liverpool, Brendan Rodgers seakan-akan mahu bermain 'tarik tali' dengan Arsenal apabila menyatakan skuad The Gunners itu harus membuat tawaran lebih tinggi jika mereka benar-benar mahu melamar Suarez.
"Arsenal harus membayar harga setimpal dengan nilai seseorang pemain
itu. Pada mulanya, mereka menawarkan £30 juta (RM146.2 juta) dan kini
telah dinaikkan kepada £40 juta (RM196.3 juta) termasuk £1 (RM4.9) untuk
mengaktifkan klausa tebus kontrak Suarez.
"Bagaimanapun, saya tidak rasa ia satu tawaran yang berbaloi jika
mereka mahu mendapatkan Suarez. Saya anggap nilai Suarez lebih daripada
itu.
"Apa yang boleh saya katakan ketika ini, Suarez masih seorang pemain
Liverpool dan dia bersama kelab ini dalam persiapan menghadapi Liga
Perdana England musim ini," jelas Rodgers.
Selepas menjalani tugasan bersama skuad kebangsaan Uruguay, Suarez kembali membuat penampilan bersama Liverpool ketika membantu The Reds menewaskan kelab Australia, Melbourne Victory 2-0 pada aksi persahabatan di Melbourne Rabu lalu.
Suarez turut bersama Liverpool yang berkunjung ke Bangkok, Thailand kelmarin sebelum skuad The Reds itu dijadual menentang skuad kebangsaan Thailand di Stadium Rajamangala esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan