JAKARTA - Pengendali Chelsea, Jose Mourinho berpuas hati dengan
prestasi anak-anak buahnya sepanjang aksi pra-musim Jelajah Asia 2013.
Skuad The Blues melengkapkan tiga siri perlawanan persahabatan
dengan membelasah Indonesia All-Stars 8-1 semalam selepas menewaskan
Harimau Malaya 4-1 dan Singha All-Star XI di Thailand 1-0,
masing-masingnya pada 21 serta 17 Julai lalu.
Penyerang Belgium, Romelo Lukaku yang dipinjamkan ke West Bromwich
Albion musim lalu, paling mencuri tumpuan apabila meledak empat gol
sepanjang tiga perlawanan tersebut.
Kecemerlangan Lukaku pasti melegakan Mourinho dan pengurus yang lebih dikenali dengan The Special One itu tidak perlu risau sekiranya mereka gagal mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.
"Ketika ini, seperti anda semua sedia maklum, kami telah melakukan apa yang termampu untuk mengemukakan tawaran.
"Namun, selebihnya saya hanya menunggu keputusan pihak di sana
(Manchester). Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan pemain-pemain
yang saya miliki sekarang," jelas Mourinho.
Dalam pada itu, kunjungan Mourinho ke Bangkok, Kuala Lumpur dan Jakarta tidak disertai enam pemain senior.
Senarai pemain yang tidak menyertai siri jelajah itu ialah trio
Sepanyol, Fernando Torres, Juan Mata dan Cesar Azpilicueta, dua tonggak
Brazil, David Luis dan Oscar serta pemain Nigeria, John Obi Mikel.
Mourinho berkata, beliau optimis masalah jentera serangan Chelsea
sudah selesai selepas menyaksikan prestasi meyakinkan yang dipamerkan
oleh Lukaku dan Demba Ba.
"Saya pasti, Fernando (Torres) gembira dengan situasi tersebut.
Selepas dia hanya keseorangan musim lalu, saingan untuk merebut posisi
penyerang utama akan menjadi lebih sengit musim depan.
Dua pemain muda skuad The Blues yang menyinar sepanjang dua
aksi sebelum ini, Andre Schurrle serta Kevin de Bruyne tidak bermain
pada aksi ketiga kerana mengalami kecederaan ketika menentang Malaysia
minggu lalu, namun mereka dijangka pulih minggu depan. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan