Isnin, 1 Julai 2013

Moyes mula pujuk Rooney

MANCHESTER - David Moyes secara rahsia mengadakan pertemuan dengan Wayne Rooney dalam usaha memujuk bintang bermasalah itu kekal bersama Manchester United.


Sewaktu pertemuan tersebut, Rooney meluahkan kemarahannya terhadap Alex Ferguson, kerana mendakwa dia membuat permintaan untuk berpindah dari kelab itu.

Menurut sumber dalaman kelab: "Cakap-cakap bahawa kedua-dua mereka tidak sebulu adalah mengarut.

"Perjumpaan tersebut lebih kepada pertemuan antara dua sahabat, tetapi ruang yang diberi telah membuka peluang kepada Wayne untuk meluahkan segala yang terbuku di dalam dadanya.
"Dia menafikan bahawa dia pernah membuat permintaan untuk berpindah dan seperti mana pemain-pemain terkemuka lain, dia amat kecewa apabila digugurkan, terutama ketika perlawanan menentang Real Madrid."

Penyerang England, Rooney, 27, turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana diketepikan oleh Fergie dalam perlawanan besar musim lepas dan dia turut kecewa apabila bekas bos itu seolah-olah mempertikaikan tahap kecergasannya.

Rooney dan Moyes dijangka mengadakan pertemuan sekali lagi minggu ini dan perbincangan mereka turut dipantau oleh kelab-kelab utama mengenai perkembangan terkini hasil rundingan tersebut.

Chelsea dan Arsenal berada dalam senarai kelab yang berhajat mendapatkan khidmat Rooney jika United berhasrat menjual pemain berkenaan dan minggu lepas, SunSport mendedahkan Barcelona telah menyediakan wang tunai bernilai 25 juta pound (RM120 juta) bagi mendapatkan Rooney.

Bintang Brazil, Neymar yang baru sahaja berpindah ke Nou Camp, semalam menggesa Rooney menyertainya di Sepanyol. Dia berkata: "Memang tidak mengejutkan saya sama sekali bahawa Barcelona merupakan pilihan pertama Wayne Rooney, pasukan kami merupakan kelab yang sering diletakkan sebagai pilihan utama.

"Gaya kami bermain bola sepak dan kualiti para pemain yang kami ada menunjukkan kami merupakan sebuah kelab yang sempurna untuk pemain-pemain terkemuka sertai.

"Saya pernah bertemu dengan Wayne beberapa kali dan dia kelihatan seperti seorang lelaki yang baik, tetapi apa yang paling penting dia merupakan salah seorang pemain yang paling saya kagum di dunia. Secara peribadi adalah menjadi impian saya untuk bermain dengannya." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan