Selasa, 30 Julai 2013

Neymar curi tumpuan

NEYMAR (kiri) menjalani sesi latihan pertamanya dengan Barcelona di Pusat Sukan Joan Gamper di San Joan Despi, Sepanyol kelmarin.


LONDON - Penyerang baharu Barcelona, Neymar menjalani sesi latihan pertamanya dengan juara Liga Sepanyol itu selepas selesai melakukan ujian perubatan kelmarin.

Selain Neymar, beberapa pemain yang terbabit pada kempen Piala Konfederasi 2013 turut kembali ke Barcelona untuk menjalani latihan seperti Xavi, Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan Lionel Messi.

Ini adalah peluang pertama Neymar untuk cuba menarik minat rakan sepasukannya di kelab baharu tersebut selepas menjadi pemain kedua termahal dibeli oleh Barca dengan harga £50 juta (RM247.2 juta).

Zlatan Ibrahimovic masih kekal menjadi pemain termahal kelab tersebut ketika dibeli dengan harga £56 juta (RM276.9 juta) dari Inter Milan pada 2009.

Neymar beraksi bersama Brazil pada kempen Piala Konfederasi 2013, Jun lalu di mana dia berjaya menewaskan hampir keseluruhan pemain Sepanyol dalam skuad Barca di final.

Salah seorang daripadanya ialah Fabregas yang ketika ini berada dalam senarai pembelian Manchester United sebelum musim perpindahan ditutup 2 September depan.

Barca sebelum ini telah menolak dua tawaran United, namun Moyes berkata: "Kami akan lihat mengenai informasi yang kami ada dan kami akan putuskan apa yang bakal dilakukan selepas itu.
"Kami akan melihat kepada semua pilihan yang kami ada." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan