Jumaat, 26 Julai 2013

Pandelela akhiri misi di tempat keenam


BUAT julung kalinya, ratu terjun negara, Pandelela Rinong terpaksa berputih mata apabila gagal meraih kejayaan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Barcelona, Sepanyol.

Bagaikan serba tidak kena, Pandelela mengharungi aksi yang boleh dianggap terburuk sepanjang menyertai kejohanan dunia dalam acara kegemarannya, 10meter platform individu.

Aksi akhir yang sepatutnya menjadi milik Pandelela, musnah apabila atlet kelahiran Sarawak itu gagal mengimbangi diri dengan baik ketika membuat persediaan melakukan terjunan ketiga.

Menggunakan segala pengalaman yang ada, penerjun berusia 20 tahun itu cuba bangkit semula untuk membetulkan keadaan.

Malang menimpa apabila Pandelela dikenakan penalti yang mengakibatkan dia kehilangan 14 mata dengan setiap daripada tujuh juri menolak dua mata.

Situasi tersebut menyebabkan kedudukan Pandelela yang pada awalnya berjaya merapati jurang dengan penerjun handalan dunia dari China, Chen Ruolin dan Si Yajie menjunam dan menamatkan saingan di tempat keenam dengan 334.55 mata.

"Agak mengecewakan, tetapi ia adat pertandingan dan perkara tersebut boleh berlaku walaupun kita tidak mahu ia terjadi. Sudah tentu saya mengintai pingat dalam acara kegemaran saya.

"Namun, saya akui, aksi saya serba tidak menjadi terutama terjunan ketiga semalam. Penalti yang dikenakan membuatkan semangat saya sedikit hilang.

"Mungkin ada tuah di lain kali," katanya yang turut kecewa selepas gagal mencatat sasaran 370 mata untuk merapatkan jurang dengan Ruolin.

Sudah pasti, orang paling kecewa ialah ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang apabila melihat anak didiknya itu terlepas peluang menaiki podium seperti yang diharapkan.

"Saya tahu dia agak kecewa walaupun saya berjaya meraih satu pingat gangsa dalam acara sebelum ini," kata Pandelela.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan