KEKUATAN mental dan fizikal setiap pemain bola sepak Liga Malaysia sekali lagi akan diuji.
Persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia terus dilakukan setiap
pasukan sepanjang Ramadan sebelum wisel saingan Piala Malaysia ditiup
dua minggu selepas menyambut Syawal.
Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ini akan memberi sedikit
tekanan kepada pemain ketika latihan dan menguji kebijaksanaan jurulatih
menyusun program latihan ketika semua pemain-pemain beragama Islam
menjalani ibadah puasa.
Tidak terkecuali, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K
Rajagobal memanggil pemain terpilih untuk menghadapi beberapa perlawanan
persahabatan dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Chelsea dan
Barcelona di samping mempersiapkan pasukan untuk mencari ramuan taktikal
dan strategik serta persefahaman pemain sebelum pusingan kedua
kelayakan Piala Asia 2015 diteruskan.
Namun, lebih menarik untuk saya ketengahkan ialah perbezaan 'karakter' dua jurulatih iaitu Rajagobal dan Jose Mourinho.
Ini boleh dinilai ketika kedua-dua jurulatih melakukan sidang media beberapa hari sebelum pertemuan kedua-dua pasukan semalam.
Sudah tentu dengan kembalinya Jose Mourinho kepangkuan Chelsea akan
memberi erti kepada pemain dan peminat-peminat Chelsea di seluruh dunia.
Kelihatan 'X faktor' dalam diri Mourinho begitu terserlah, setiap
gerak-gerinya akan mendapat perhatian dan setiap perkataan daripada
mulutnya juga dinanti-nantikan.
Jawapan yang diberikan begitu yakin, termasuklah pandangan diberikan
beliau tentang seseorang pemain itu perlu menunjukkan aksi yang
konsisten dan kerap bermain dalam kelab layak bermain untuk pasukan
kebangsaan mereka.
Begitu juga dengan sikap ketegasannya dalam ketepatan waktu, apabila
meninggalkan sidang media baik sahaja masa yang diberikan tamat walaupun
pada ketika itu beberapa jurugambar sedang sibuk menjalankan tugas.
Inilah karakter yang akan memberi kesan mendalam kepada pemain-pemain
apabila seseorang jurulatih itu mempunyai nilai integriti begitu
tinggi.
Peluang begini perlulah diambil kesempatan oleh setiap jurulatih,
pemain serta pegawai pasukan untuk dipelajari serta membuat kajian
daripada seseorang yang berjaya dalam merealisasikan impian dan
kerjayanya dalam urus tadbir diri.
Selain itu juga, kita boleh menjadikan satu contoh atas kejayaan
seorang pemuda Vietnam, Vu Xuan Tien lebih dikenali dengan 'The Running
Man' ketika berlari mengejar bas pasukan kegemaran beliau iaitu Arsenal
sejauh 5 kilometer hanya untuk mendapatkan tandatangan pemain Arsenal
ketika baru sahaja menjejakkan kaki di Vietnam dalam jelajah Asia yang
mendapat liputan meluas media antarabangsa setelah video dimuat turun di
youtube oleh penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.
Pepatah Melayu ada menyatakan 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'.
Begitulah mesej yang dapat kita pelajari daripada pemuda Vietnam ini,
tidak ada kejayaan datang dengan mudah sekiranya kita tidak berusaha.
Namun, lebih menarik tentang kejadian ini, terselindung satu nilai 'pemasaran' daripada Xuan Tien.
Setiap perancangan dan strategi dalam melakukan pemasaran amat penting.
Ini perlu dipelajari setiap pemain-pemain bola sepak di negara kita,
bagaimana cara menarik perhatian peminat, penaja dan kelab selain
daripada persembahan yang konsisten, berkualiti serta bermutu.
Mereka perlu bijak membina karakter dan imej dalam diri sendiri baik di dalam serta luar padang.
Ini akan mencerminkan seseorang pemain itu bijak merancang kerjayanya serta dipandang hormat.
Dalam era bola sepak profesional pemain perlu mengambil kesempatan di
atas sambutan kemeriahan daripada peminat dan pihak media untuk menarik
penaja bagi menambah pendapatan menjamin masa depan.
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan