Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
|
“PIYA (Mohd. Badhri Mohd. Radzi) telah membuktikan keupayaannya dan
sudah tiba masanya untuk dia diberikan peluang mengemudi jentera tengah
skuad Harimau Malaya.”
Demikian tegas bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu (gambar
kecil) selepas menyaksikan kapten Kelantan itu membantu The Red Warriors
(TWR) mempertahankan Piala FA dengan menewaskan Johor Darul Takzim
(Johor DT) 1-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam
kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Piya muncul watak penting dengan melakukan
banyak hantaran tepat kepada jentera serangan Kelantan dan umpanan
pertamanya kepada Mohd. Norfarhan Muhammad telah berjaya menghasilkan
gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.
Kelincahan yang dipamerkan pemain tengah kelantan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.
“Piya merupakan seorang ‘jeneral padang’ yang hebat. Lihat sahaja
gandingannya dengan Mohd. Shakir Shaari yang berjaya menguasai bahagian
tengah berbanding Johor DT.
“Sebenarnya, saya juga hairan dengan corak permainan yang ditunjukkan
oleh Johor DT. Dalam aksi sebelum ini, pemain-pemain tengah mereka
lebih banyak pegang bola.
“Namun, pada aksi semalam (kelmarin), mereka dilihat lebih kerap turun dan melakukan serangan melalui bahagian tepi.
“Piya dilihat semakin selesa dengan gaya permainannya. malah mampu
melepasi dua tiga pemain tengah Johor DT. Ini bermakna Johor DT
memberikan ruang yang selesa kepada Kelantan untuk bergerak.
“Hasilnya, Kelantan berjaya mengambil kesempatan itu dengan
menjaringkan gol kemenangan sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala
FA,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Tambah bekas pengendali Perak itu, beliau menepis dakwaan bahawa Piya
hanya mampu menyinar dengan Kelantan dan tenggelam ketika bersama
Harimau Malaya.
Ini kerana Karathu menganggap pemain berusia 31 tahun itu memiliki
kelebihan dari sudut pengalaman beraksi di pentas final dan Piala AFC.
“Sebenarnya, perkara itu bergantung kepada jurulatih dan saya pernah membimbing Piya dan saya tahu keupayaan pemain ini.
“Sudah tiba masanya dia diberikan peluang untuk mengemudi pasukan Harimau Malaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan