Isnin, 29 Julai 2013

Pertaruhan bakat Zizan, Lisa, Fizz




SPIDERMAN, Superman dan Batman antara naskhah adi wira popular yang telah banyak kali menukar teraju utamanya.

Tidak salah untuk menyatakan bahawa setiap penerbitan siri filem adi wira tersebut mengikut zon zaman berbeza memberikan impak yang berasingan, malah penceritaan juga dinamik dan sering diolah supaya kena dengan situasi semasa.

Begitu juga sekuel kedua filem Cicakman iaitu Cicakman 3 yang bakal memula- kan penggambaran tidak lama lagi.

Tiga teraju utama asal iaitu Saiful Apek, Fasha Sandha dan Aznil Nawawi masing-masing kini diganti oleh Zizan Razak, Lisa Surihani dan Fizz Fairuz.

Ramai yang barangkali menyangka bahawa Cicakman 3 menampilkan karakter baharu menggantikan watak asal Hairi (lakonan Saiful Apek) menerusi Cicakman dan sekuelnya, Cicakman 2 - Planet Hitam yang merupakan adiwira Cicakman di bandar Metrofulus.

Hakikatnya, menurut pengarah Cicakman 3, Yusri Abdul Halim, filem itu pada dasarnya adalah kesinambungan kepada kehidupan adi wira Cicakman baharu dan watak Hairi yang digalas Saiful Apek sebelum ini tidak dimatikan secara total.

“Karakter Hairi (Saiful Apek) dikatakan telah merajuk dan berjauh hati untuk terus berkhidmat sebagai Cicakman, namun dia bakal digantikan oleh Man yang dilakonkan oleh Zizan,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman Cicakman 3 di Peninsula Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut perkembangan karakter Man atau Cicakman, heroin baharu Linda dan watak antagonis Adam atau SuperBro, Zizan, Lisa dan Fizz berkongsi pandangan.

Zizan enggan dibayangi Apek
Perbandingan pastinya perkara pokok yang timbul setiap kali muncul sekuel adi wira dan Zizan harus mengakui situasi itu sedikit sebanyak akan tercetus apabila filem tersebut ditayangkan kelak.

“Apek ada karakter dan bahasa badan dia sendiri sebagai seorang Cicakman. Begitu juga saya, maka masing-masing mempunyai keunikan sendiri dan penonton harus akur akan hal ini. 

“Soal perbandingan sudah menjadi kelaziman tapi anggap saja sekuel baharu adalah permulaan dan penerimaan watak baharu,” jelasnya.
FIZZ, Lisa Surihani dan Zizan dijangka memberi suntikan baharu dan lebih segar buat siri terbaharu francais Cicakman.


Menerima tawaran membintangi Cicakman 3, kata Zizan, selain mempunyai skrip dan jalan cerita yang menarik, filem itu juga merealisasikan impiannya bergandingan dengan Lisa Surihani sebagai pasangan suami isteri.

“Pertama kali saya melakonkan watak sebagai seorang suami dan itu juga antara sebabnya saya menerima tawaran ini.

“Berlakon dengan Lisa yang kehidupan realitinya seorang isteri kepada penga- rah filem ini perlu profesional. Memang mula-mula rasa kekok tapi saya membayangkan saya bercinta dengan watak Linda bukannya Lisa.

“Untuk menjadi seorang adi wira, seseorang itu perlulah kental dan harus bersedia luar dan dalam. Saya bangga, terkejut dan teruja untuk mula beraksi dalam Cicakman 3,” kata Zizan yang cuba untuk melakukan lagak ngerinya sendiri.

Yusri minta Lisa mesra

Bekerja di bawah arahan suami sendiri pada mulanya bukan perkara mudah bagi Lisa Surihani.
Namun, bagi pendukung watak Linda dalam Cicakman 3, dia menganggap situasi itu sebagai tanggungjawabnya sebagai anak seni.

“Saya teruja sebenarnya untuk bekerja di bawah arahan suami sendiri. Di set penggambaran kami adalah pekerja dan perlu profesional tapi apabila di rumah hubungan kami adalah suami isteri.
“Yusri merupakan seorang yang terbuka terutama proses manipulasi watak. Di depan dia sendiri saya dan Zizan membina keserasian dan dia yang mengarahkan untuk saya lebih mesra dengan watak utama iaitu Man.

“Ketika sesi bacaan skrip awal juga, Yusri yang memberikan nama timang- timangan manja untuk saya dan Zizan supaya lebih nampak semula jadi.

“Sejujurnya, memang kami tiada isu untuk saya berlakon bersama lelaki lain sementelah memegang watak sebagai seorang isteri. 

“Yusri bukan seorang yang senang cemburu dan apa saja yang pengarah mahukan saya sebagai pelakon perlu mencuba walaupun pengarah itu bukan suami saya sendiri,” tegasnya.
Lisa menyifatkan watak Linda seorang yang idealis dan mencintai Man disebabkan sifat jejaka itu yang kelakar, malah watak tersebut bukan seorang wanita yang terlalu kompleks.
FIZZ sekali lagi bergandingan bersama Zizan menerusi naskhah Cicakman 3 selepas sama-sama membintangi filem Hantu Kapcai pada tahun lepas.


Fizz adiwira kedua
Muncul sebagai SuperBro dalam Cicakman 3, watak itu bertindak sebagai iaitu adiwira baharu di bandar Metro- fulus iaitu SuperBro selepas ketiadaan Cicakman (Hairi). 

Namun, Adam bertukar menjadi antagonis apabila Cicakman baharu iaitu Man muncul.
Berpeluang bergandingan dengan Zizan, Fizz mengakui cukup teruja kerana mereka pernah bergandingan dalam filem Hantu Kapcai pada tahun lalu.

“Saya dan Zizan pernah digandingkan bersama sebelum ini dan rasanya tidak sukar untuk saya ‘menumpaskan’ dia sebagai lawan saya kali ini.

“Apabila ditawarkan watak seorang anggota polis bernama Adam yang juga merupakan adi wira baharu di kota Metrofulus iaitu SuperBro, adalah sukar untuk saya menolak tawaran ini.
“Watak Adam sedikit kompleks berbanding watak Man yang berubah menjadi Cicakman. 

Adam pada masa sama menjadi SuperBro tapi di lain ketika cuba merebut kembali cintanya kepada Linda,” tambahnya.

Cicakman 3 amat relevan dengan latar emosi manusia yang mempunyai jenaka, drama, konflik kekeluargaan, dendam, cinta dan tamakkan kuasa.

Filem itu mengisahkan Man, peminat tegar Cicakman yang kecewa kerana terpaksa berpisah dengan isterinya, Linda dan anaknya, Boboy lalu cuba membuktikan dia mampu berubah.

Keadaan semakin tertekan apabila Adam, bekas rakan persekolahan mereka cuba memenangi hati Linda, namun kehidupan Man pula berubah apabila dia menemui sebuah kotak rahsia peninggalan Cicakman dan Man belajar menjadi Cicakman baharu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan