Jumaat, 19 Julai 2013

Pesanan buat Harimau Malaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan ringan di Gimnasium Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah menggesa Harimau Malaya tampil bermati-matian demi maruah negara ketika menentang Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam esok.

Namat memberitahu, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal tidak seharusnya ‘cepat mengalah’ sekalipun menyedari lawan yang ditentang bukan calang-calang pasukan.

“Bila nak main (lawan dengan Chelsea), mereka (skuad Harimau Malaya) harus beraksi bermati-matian.

“Jika diberi kepercayaan oleh jurulatih, setiap pemain harus memberikan aksi terpuji di tengah padang. Walaupun sedar Chelsea dibarisi pemain terbaik dunia tetapi pemain negara tidak harus mudah mengalah.

“Patahkan setiap serangan mereka dan jika tewas, biarlah kalah bermaruah. Jangan buat malu negara kita,” kata Namat ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Namat, 66, turut berharap anak-anak buah Rajagobal dapat mengambil seberapa banyak peluang untuk menimba pengalaman berharga berdepan dengan barisan bintang The Blues.
“Ketika zaman saya mewakili negara, kita (skuad negara) tidak pernah minta untuk menentang Arsenal, Nottingham Forest mahu pun Brazil.

“Sebaliknya, mereka yang mahu menguji kemampuan kita. Jadi saya berharap skuad negara generasi kini dapat menggunakan peluang menentang Chelsea sebaik mungkin.

“Ketika menentang Arsenal pada 13 Mei 1975, kami terikat 1-1 tetapi menang 2-0 ke atas Arsenal pada aksi kedua di Stadium Merdeka dua hari kemudian.

“Jadi saya berharap skuad negara generasi kini dapat mengambil aura kejayaan itu sebagai pembakar semangat untuk mereka tampil dengan aksi lebih baik Ahad ini (esok),” jelasnya.

Bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu (gambar kecil) turut bersetuju dengan pandangan Namat itu.

Karathu memberitahu, Harimau Malaya tidak perlu gentar dengan reputasi gah The Blues selaku juara Liga Europa.

“Pada pendapat saya, pasukan kita sepatutnya tiada sebarang tekanan dalam perlawanan persahabatan ini.

“Sebaliknya, mereka harus mengambil satu motivasi untuk meletakkan reputasi mereka sebaris dengan pemain bertaraf dunia.

“Jangan hormat sangat kepada Chelsea kerana apabila bermain dengan pemain profesional, kamu berpeluang untuk belajar sesuatu dalam permainan itu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan