|
SUDAH tiba masanya buat ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.
Rajagobal menilai tahap sebenar keupayaan skuad negara di pentas
antarabangsa.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abdullah berkata,
pendekatan Rajagobal untuk menguji muka-muka baharu dalam skuad
kebangsaan dianggap sudah tidak relevan.
Namat menyuarakan kenyataan lantang itu selepas skuad negara diaibkan
dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan
Bellmare kelmarin.
Bekas pemain Kedah itu menganggap, tindakan Rajagobal memakan diri
sendiri apabila skuad kebangsaan terpaksa menanggung malu besar
terutamanya diaibkan dengan kekalahan terbesar kepada pasukan Divisyen
Satu Jepun itu.
Namat berkata, persembahan yang tidak konsisten ditambah dengan
eksperimen terhadap pemain-pemain langsung tidak memberikan sebarang
manfaat kepada Harimau Malaya.
“Senang cerita, tak payah uji pemain. Rombak satu pasukan.
“Jika inilah hasilnya untuk menguji pemain-pemain baharu tetapi skuad
negara diaibkan dengan kekalahan besar, saya tidak menganggap ia
sebagai satu pendedahan yang bagus.
“Sebaliknya, skuad negara dimalukan dengan pasukan bertaraf kelab.
Saya tidak mahu campur dalam hal pengurusan Rajagobal tetapi lebih baik
rombak sahaja skuad yang sedia ada.
“Berdasarkan persembahan yang tidak konsisten terutamanya menjelang
kejohanan besar yang semakin hampir (kelayakan Piala Asia 2015), mereka
semakin kesuntukan masa.
“Nasihat saya, Harimau Malaya harus bangkit dengan memberikan
persembahan menyakinkan kepada peminat-peminat,” katanya ketika
dihubungi Kosmo! kelmarin.
Impian Harimau Malaya untuk memburu slot automatik pada kelayakan
Piala Asia 2015 dijangka berdepan kesukaran selepas mempamerkan prestasi
tidak menentu sepanjang mengharungi aksi pemanas badan.
Selain itu, kemarahan peminat-peminat juga tidak dapat dibendung lagi
apabila skuad negara lebih cenderung untuk mengadakan siri perlawanan
persahabatan menentang pasukan bertaraf kelab berbanding skuad
kebangsaan.
Sebelum ini, anak-anak buah Rajagobal telah mengharungi tiga
perlawanan persahabatan di Australia yang berkesudahan mereka tewas 2-3
kepada Canberra FC, menang 4-0 ke atas Sydney Olimpik dan kalah 2-0
dengan Marconi Stallions, Jun lalu.
Harimau Malaya turut seri tanpa jaringan ketika menentang kelab
Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai
lalu.
Untuk rekod, Harimau Malaya hanya menewaskan Sydney Olympic 4-0 pada
aksi persahabatan dan Yemen 2-1 dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015
sepanjang 12 perlawanan sejak 1 Februari lalu.
Skuad negara yang tewas 0-2 kepada Shimizu S Pulse pada aksi pertama
siri perlawanan persahabatan di Jepun sebelum dibelasah 0-5 oleh Shonan
Bellmare akan melengkapkan aksi terakhir dengan menentang Tokyo Verdy,
Rabu ini.
Skuad bimbingan Rajagobal akan bertemu Barcelona di Stadium Nasional,
Bukit Jalil pada 10 Ogos depan sebelum melayan kunjungan Bahrain untuk
aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15
Ogos depan.
Dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, Harimau Malaya kini
menduduki tangga ketiga Kumpulan D apabila berkongsi tiga mata dengan
Bahrain (kedua) selepas tewas 0-2 kepada pendahulu, Qatar dan menang 2-1
terhadap pasukan tercorot, Yemen sepanjang dua perlawanan pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan