Selasa, 16 Julai 2013

Rooney pilihan kedua


LONDON - Wayne Rooney terpaksa menerima hakikat dilabel sebagai pemain simpanan sekiranya dia mengambil keputusan kekal di Manchester United musim depan.

Pengurus baharu United, David Moyes memberitahu Rooney bahawa dia kini bukan lagi pilihan automatik di Old Trafford setelah mengakui Robin van Persie sebagai penyerang utama kelab itu.

Moyes turut menegaskan bahawa Shinji Kagawa adalah pilihan utamanya untuk bermain di belakang van Persie, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi mengenai masa depan Rooney di Old Trafford.
Situasi ini bakal menguatkan lagi keinginan Rooney untuk meninggalkan United bagi mencari sebuah kelab yang dapat memberi jaminan kepadanya sebagai pemain utama.

Bagaimanapun, Moyes mahu mengekalkan Rooney sebagai pemain simpanan seandainya van Persie mengalami kecederaan, namun penyerang England itu sudah pasti tidak mahu memanaskan bangku simpanan sepanjang kariernya.

Ketika Chelsea masih berusaha mendapatkan Rooney yang bernilai £40 juta (RM192.6 juta), pendedahan yang dibuat Moyes itu mungkin menyuntik keinginan pemain berusia 27 tahun itu meninggalkan United selepas sembilan tahun di Old Trafford.

"Jika van Persie ditimpa kecederaan, kami masih lagi memerlukan khidmat Rooney.

"Rooney boleh beraksi di hadapan secara keseorangan, dia juga boleh bermain di belakang seorang penyerang lain. Saya mungkin memerlukan sedikit masa untuk melihat posisi sesuai baginya.

"United bukan mengenai Wayne Rooney sahaja. United adalah mengenai sebuah pasukan, sebuah kelab.

"Saya tidak akan biarkan Rooney menjadi lebih penting daripada kelab dan juga pasukan ini kerana keseluruhannya, kelab ini yang lebih penting," kata Moyes.

Moyes turut menegaskan, United tidak akan menawarkan kontrak baharu kepada Rooney dan akan menilai semula situasi tersebut musim hadapan.

Rooney ketika ini masih memiliki baki kontrak dua tahun dengan gaji mingguan £250,000 (RM1.2 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan