Selasa, 30 Julai 2013

Selesai segera isu Bale




LONDON - Penolong pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane mahu membawa Gareth Bale ke skuad Los Blancos secepat yang mungkin. 

Zidane mendedahkan keinginan itu selepas spekulasi perpindahan pemain tengah Tottenham Hotspur tersebut ke Stadium Santiago Bernabeu semakin hangat.

Pemain legenda Perancis itu berharap, perjanjian dengan pemain antarabangsa Wales yang turut menjadi buruan Manchester United itu akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat.
"Kami tidak akan berputus asa dengan Bale.

"Mustahil kami akan melupakan seorang pemain yang berkualiti.

"Sesuatu yang normal apabila Tottenham mahu dia menandatangani kontrak baharu tetapi kami menjelaskan bahawa dia adalah objektif utama kami," kata Zidane.

Bale dilaporkan telah memberitahu Tottenham bahawa dia mahu mengadakan perbincangan dengan Real berhubung satu rekod perpindahan dunia.

Real turut memberi amaran kepada Bale bahawa dia hanya memperoleh peluang itu sekali seumur hidup.

Kelab gergasi Sepanyol itu mahu perpindahan tersebut diselesaikan secepat mungkin atau mereka mungkin membeli pemain lain.

Presiden Real, Florentino Perez akan berbincang dengan pengerusi Spurs, Daniel Levy di Miami awal bulan Ogos depan apabila kelabnya menghadapi jelajah pra-musim di London.

Bale bakal ditawarkan kontrak baharu untuk membolehkannya kekal di White Hart Lane, namun dia dikatakan enggan menerimanya dan akan meminta Spurs supaya melepaskannya secara rasmi.

Sebelum ini Bale mendedahkan bahawa dia gembira berlatih di bawah bimbingan Andre Villas-Boas, namun dia juga sedar peluang untuk beraksi dengan kelab sehebat Real tidak mungkin akan datang sekali lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan