Jumaat, 19 Julai 2013

Tiga pemain muda hampiri Old Trafford

Oleh SHANIKA ABDULLATIB


AZMER, Muhammad Nizarruddin dan Muhammad Fekry dipilih sebagai pemenang 'Mencari Ramli' musim kedua.


PROGRAM realiti pencarian bakat bola sepak - 'Mencari Ramli' musim kedua telah merealisasikan tiga pemain muda berbakat.

Selepas melepasi peringkat saringan dan ujian selama 13 minggu bermula 19 April lalu, akhirnya Muhammad Nizarrudin Jazi, 13, dan Muhammad Fekry Azram Sharif, 16, dipilih sebagai dua pemain terbaik daripada hampir 10,000 peserta yang telah menguji nasib masing-masing.

Azmer Khairy Kahidzer, 16, pula terpilih selepas menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi sebagai Pemain Pilihan Penonton. 

Pemilihan ketiga-tiga pemain itu menyaksikan mereka bakal 'berguru' selama dua minggu di Akademi Bola Sepak Manchester United (MUSS).

Pada masa sama, mereka turut berpeluang menyaksikan bintang-bintang Manchester United menentang Wigan pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, 11 Ogos depan.

"Ia sangat mengujakan kerana dapat berlatih dan mencari pengalaman di tempat latihan bola sepak terbaik dunia. Biarpun hanya selama dua minggu, ia mampu membuatkan saya menjadi pemain yang lebih matang.

"Saya juga berharap dengan apa yang diperolehi di sana nanti akan membuka ruang dan peluang kepada saya untuk bermain secara profesional bersama pasukan terkemuka di Malaysia atau luar negara," ujar Muhammad Nizarrudin, pelajar Sekolah Sukan Seri Kota, Melaka itu. 

Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Rozalila Abdul Rahman menjelaskan, sambutan hangat yang diterima dalam program tersebut membuatkan pihaknya tidak teragak-agak meneruskan 'Mencari Ramli' buat musim ketiga tahun depan. 

Rozalila memberitahu, pemberian biasiswa oleh Akademi Bola Sepak Frendz United yang berjumlah RM100,000 kepada setiap pemain muda itu akan memudahkan mereka mengasah bakat di MUSS nanti. 

"Ia meliputi perbelanjaan sekolah, tempat tinggal dan kelengkapan lain. Dengan adanya biasiswa itu, kita harap mereka tidak mengalami masalah di MUSS," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan