Oleh HAFIZ ABBAS
|
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal perlu
menurunkan pemain kesebelasan utama yang terbaik pada pertemuan
menentang Chelsea FC Stadium Shah Alam malam ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) berkata, perlawanan itu sangat
penting kerana ia antara pentas terakhir buat barisan pemain sedia ada
sebelum menghadapi Bahrain pada perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan
kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur 15 Oktober nanti.
“Saya harap Rajagobal akan membariskan pemain yang terbaik dalam
kesebelasan utama, cukuplah terus bereksperimen, sebab kali ini kami
mahu mereka bermain dengan serasi memandangkan pusingan kelayakan Piala
Asia akan berlangsung tidak lama lagi.
“Jadikan perlawanan ini sebagai persiapan terakhir untuk membentuk
sebuah pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita pada Majlis
Penyerahan Zakat Perniagaan oleh tujuh badan korporat di Istana Abdul
Aziz, Kuantan kelmarin.
Sebelum berdepan Bahrain, skuad negara terlebih dahulu akan
mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab di Jepun dari 23
Julai hingga 1 Ogos dan seterusnya bertemu kelab gergasi Sepanyol,
Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos.
Tengku Abdullah turut menagih corak permainan yang baik daripada
setiap pemain pada perlawanan menentang skuad The Blues ini dan mahu
mereka cuba mendapatkan kemenangan walaupun dilihat sedikit mustahil.
“Kalau boleh kami nak menanglah, kami harap Harimau Malaya membuat
percubaan lebih dan mudah-mudahan dapat jaringan yang setimpal, memang
akui perlawanan ini susah tapi sekurang-kurangnya cuba pertahan
kedudukan dan tunjukkan corak permainan yang baik.
“Kami mahu lihat benteng pertahanan pasukan negara sepanjang
perlawanan itu serta keupayaan penyerang-penyerang kita dalam segi
statistik percubaan pada separuh masa pertama dan kedua,” katanya.
Chelsea memulakan jelajah pra-musim 2013/14 di Asia dengan
mengalahkan Singha All-Star XII, Thailand 1-0 di Stadium Rajamangala di
Bangkok pada Rabu lepas.
Skuad bimbingan jurulatih Jose Mourinho itu akan berada di Malaysia
sehingga 23 Julai sebelum berkunjung ke Indonesia untuk mengakhiri
lawatan mereka dengan menentang BNI Indonesia All-Stars di Stadium Bung
Karno di Jakarta.
Ditanya mengenai desakan peminat bola sepak tanah air yang mahukan
khidmat Rajagobal ditamatkan kerana gagal membimbing skuad kebangsaan ke
peringkat lebih tinggi, Tengku Abdullah berkata, perkara itu akan
dilihat kemudian.
“Biar dia habiskan perjuangannya dulu (sebagai jurulatih Harimau
Malaya) kerana dia tahu apa harapannya dan saya harap dia dapat tunaikan
apa sahaja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang fasal perkara
lain.
“Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana
kelayakan Piala Asia adalah Indeks Prestasi Utama (KPI) dia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan