Rabu, 17 Julai 2013

Vilanova akui Fabregas mahu kekal di Barcelona


BARCELONA, Sepanyol - Pengurus Barcelona, Tito Vilanova mendedahkan bahawa Cesc Fabregas tidak berniat untuk meninggalkan juara Liga Sepanyol itu.

Isnin lalu, Manchester United mengemukakan tawaran berjumlah 30 juta euro (RM126 juta) untuk membawa bekas kapten Arsenal berusia 26 tahun itu kembali ke saingan Liga Perdana England.
Vilanova berkata, beliau gembira apabila pemain Barcelona menjadi buruan kelab lain.

Bagaimanapun, beliau telah berbincang dengan Fabregas dan berjaya menyelesaikan isu tersebut.
"Saya bercakap dengan dia (Fabregas) dan dia memberitahu bahawa dia mahu kekal di sini. Dia tidak mahu menyertai kelab lain," kata Vilanova pada sidang akhbar pertama Barcelona semalam.

Fabregas dijangka menjadi harapan Vilanova musim ini selepas mereka kehilangan pemain tengah, Thiago Alcantara yang memilih untuk menyertai Bayern Munich, sekali gus bergandingan semula dengan bekas pengurus, Pep Guardiola.

Vilanova berkata, beliau perlu memberi respons terhadap komen yang dikeluarkan Guardiola di Itali.
Pada sesi latihan pra-musim bersama Bayern itu, Guardiola mendakwa laporan yang didedahkan media Sepanyol tahun ini tidak benar.

Katanya, Pengarah Barcelona membuat kritikan yang tidak adil mengenai reaksinya selepas Vilanova terpaksa menjalani rawatan perubatan.

"Guardiola melakukan kesilapan dan ia mengejutkan saya," kata Vilanova.

Vilanova berkata, tidak ada Pengarah Barcelona menggunakan kesihatannya untuk menghentam Guardiola.

Sementara itu, Vilanova berkata, beliau masih menganggap Lionel Messi sebagai pemain terbaik dunia tetapi gembira dengan kehadiran Neymar. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan