Selasa, 16 Julai 2013

Villa teruja sertai Atletico



VILLA (tengah) diserbu para peminat sebaik diperkenalkan sebagai pemain Atletico di Stadium Vicente Calderon, Madrid semalam.


LONDON - Penyerang buruan Tottenham Hotspur, David Villa akhirnya sah menyarung jersi Atletico Madrid semalam.

Villa, 31, turut diserbu peminat fanatik Atletico pada sesi perkenalan bersama peminat di Stadium Vicente Calderon itu.

Villa mengakui pernah mempertimbangkan hasrat untuk berhijrah ke England sebelum bertukar fikiran sebaik dilamar Atletico.

Dia melengkapkan perpindahan daripada Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak 2.1 juta euro (RM8.72 juta).

Jumlah itu meningkat kepada 5.1 juta euro (RM21.1 juta) sekiranya Villa menghabiskan kontrak selama tiga tahun dengan Atletico.

"Saya sepatutnya telah berhijrah ke England sekarang.

"Namun segala-galanya berubah selepas dilamar Atletico dan selesai dalam tempoh tiga hari.
"Bagi saya, Atletico pasukan yang hebat apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Sepanyol musim lalu serta layak ke kempen Liga Juara-Juara.

"Mereka juga berjaya mengecewakan Real Madrid pada final Piala Raja Sepanyol.

"Mulai sekarang, Atletico merupakan kelab terbaik di dunia bagi saya," kata Villa.

Kini, Villa terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai peledak utama Atletico yang kehilangan Radamel Falcao selepas menyertai Monaco secara mengejut bulan lalu.

Untuk rekod, Falcao berjaya mencetak 52 gol sepanjang dua musim bersama Atletico sebelum ini.
"Saya telah mengadakan perbincangan bersama jurulatih (Diego Simeone).

"Falcao cukup disayangi di sini tetapi saya memberi jaminan bahawa kehilangannya tidak akan dirasai.

"Saya datang ke sini untuk beraksi sebanyak mungkin, sesuatu yang tidak dapat saya lakukan ketika bersama Barcelona," kata Villa. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan