Ahad, 28 Julai 2013

Zaha mengintai peluang


ZAHA (kiri) menjaringkan gol penyamaan pada aksi menentang Cerezo Osaka kelmarin.


OSAKA, Japan - Pemain baharu Manchester United, Wilfried Zaha mengakui semakin bersemangat untuk menyarung jersi kelab gergasi England itu.

Zaha menyuarakan keyakinan itu selepas menjaringkan gol pertama pada aksi pra-musim Jelajah Asia 2013 kelmarin.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu menyelamatkan maruah skuad The Red Devils apabila meledak gol penyamaan ketika mereka mencatat keputusan seri 2-2 dengan bekas kelab Shinji Kagawa, Cerezo Osaka di Jepun.

"Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Gol itu hadir selepas beraksi buat kali kedua dengan United dan saya sangat gembira kerana berjaya melakukannya.

"Sudah tentu saya berterima kasih kepada pengurus (David Moyes) yang memberi peluang kepada saya untuk beraksi," ujar Zaha.

Untuk rekod, pemain kelahiran Ivory Coast itu menandatangani kontrak bersama United pada awal Januari lalu tetapi dipinjamkan kepada Crystal Palace sehingga akhir musim lalu.

Lebih menarik, Moyes membawa satu-satunya muka baharu United, Zaha pada aksi Jelajah Asia tahun ini.

"Saya rasa bangga kerana apa yang saya hajatkan, berjaya lakukan pada Jelajah Asia dan saya berharap dapat beraksi dengan skuad utama musim depan," katanya yang membuat penampilan pertama bersama England sebagai pemain simpanan ketika menentang Sweden pada November lalu.
Sementara itu, Moyes mengakui persembahan Zaha berjaya menarik perhatiannya.

"Dia berjaya melakukan impak sepanjang Jelajah Asia ini. Dia telah membuktikan kesungguhan serta tampil dengan aksi hebat.

"Di United, kami mahukan semua pemain menjaringkan gol dan dia telah membuktikan kualiti dengan meledak jaringan penting pada saat-saat akhir," kata bekas pengurus Everton itu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan