APABILA mengenali secara dekat insan yang bernama Didie Alias, tidak
dinafikan pelakon dan pelawak itu sentiasa kelihatan ceria dan selalu
bergurau senda dengan orang di sekelilingnya.
Tidak hairanlah kalau bertemu dan berbual dengan pemilik nama sebenar
Fadzillah Mohammad itu, memang tidak kering gusi dibuatnya dengan
celotehnya yang sentiasa mencuit hati dan menghiburkan.
Bagaimanapun, tentunya ramai yang ingin mengetahui latar dirinya
dalam dunia sebenar, terutamanya kehidupan seharian yang dilalui bersama
ahli keluarga.
Berkesempatan bertemu dengannya semasa acara Anugerah Lawak Warna
baru-baru ini, Didie menyatakan kehidupannya sebagai seorang artis dan
ibu kepada lima orang anak sememangnya jauh berbeza.
"Selama ini orang melihat saya seorang yang kelakar dan selalu
membuat orang lain ketawa, tetapi apabila berada di rumah bersama
keluarga, karakter saya memang berbeza.
"Tidak dinafikan, dengan anak-anak, saya memang seorang ibu yang
sangat tegas. Kalau saya kekal mengamalkan sikap yang kelakar di rumah,
saya risau anak-anak akan hilang rasa hormat," ujar ibu kepada lima
orang cahaya mata itu.
Sehingga kini Didie memiliki empat orang cahaya mata perempuan dan
seorang lelaki iaitu Nurdhaniyah, 20, Muhammad Dhanial, 19, Nur Dinie,
17, Nur Dayini Ahza, 15, dan Nur Diyana, 14, hasil perkahwinan terdahulu
dengan pelakon Ridzuan Hashim.
Tambah Didie, dengan sikapnya yang tegas itu tidak bermakna dia perlu
menggunakan kekerasan atau meninggi suara, sebaliknya dia lebih suka
mengamalkan sikap toleransi untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang
baik.
DIDIE di samping tiga orang anak
tersayang, Nurdhaniyah, Nur Dinie dan Nur Dayana (kanan) serta suaminya,
Isham (kiri) yang turut berkongsi kejayaannya pada majlis Anugerah
Lawak Warna.
Mengakui anak-anak memang takut dengan ketegasannya itu, namun dia
lebih suka melayan mereka seperti kawan dan akan sentiasa bertanya dan
memantau tentang perkembangan diri masing-masing.
"Kalau ada kelapangan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti
seni, saya akan menghabiskan masa di rumah. Dengan masa yang ada itu
saya gunakan sebaik-baiknya untuk berborak dengan anak-anak.
"Walaupun mereka melihat saya ini seorang ibu yang tegas, tetapi saya
sebenarnya bersikap terbuka dan lebih suka kalau anak-anak berterus
terang dan menceritakan segala aktiviti mereka kepada saya," jelasnya.
Berkenaan dengan minat anak-anaknya terhadap bidang seni pula, Didie
mendedahkan dia langsung tidak menghalang sekiranya ada antara mereka
yang ingin mengikut jejak langkahnya.
Ujarnya, kesemua anaknya itu pernah berlakon dalam drama dan
telemovie sebelum ini, malah anak bongsunya iaitu Nur Diyana turut
memiliki karakter kelakar seperti dirinya.
"Apa yang saya lihat masing-masing ada bakat untuk menjadi pelakon,
cuma mereka tidak menunjukkan minat yang lebih mendalam. Jadi, lebih
baik kalau mereka buat apa yang diminati dan saya akan sentiasa
menyokong," ujarnya.
DIIKTIRAF. Didie dinobatkan sebagai pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini.
|
Penampilan berbeza
Berbalik kepada cerita mengenai imej pelik yang selalu digayakan
apabila menghadiri sesebuah acara hiburan, Didie ternyata mempunyai
alasan tersendiri.
Jelasnya, tindakannya itu bertujuan untuk menampilkan pelbagai
kelainan serta mahu meninggalkan kenangan tersendiri buat dirinya dan
para peminat.
"Tidak semua acara saya perlu tampil dengan imej pelik. Semuanya
perlu bergantung kepada tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
"Selepas itu, barulah saya akan berbincang dengan pereka fesyen serta
jurumekap tentang penampilan yang akan digayakan supaya tidak nampak
terlalu pelik dan melampau," ujarnya.
Mengenai penerimaan kelima-lima anaknya terhadap penampilannya itu,
Didie menyatakan mereka cukup memahami bahawa semua yang dilakukan
semata-mata mahu mencari rezeki.
Biarpun selalu dicerca dan dikritik segelintir peminat yang kurang
gemar dengan caranya itu, pelakon berkenaan menyatakan anak-anaknya
merupakan pihak yang paling banyak mempertahankan dirinya.
"Mungkin ramai yang tidak tahu kesemua anak perempuan saya kini telah
bertudung. Keputusan yang dibuat itu bukanlah paksaan sesiapa kerana ia
atas kerelaan hati.
"Kalau ada yang bertanya bila saya akan bertudung pula, jawapan yang
akan diberikan mudah sahaja. Saya anggap perubahan yang ingin dilakukan
itu semua kuasa Allah," jelasnya.
DIDIE meraikan kemenangan pada majlis Anugerah Lawak Warna bersama Jasmin Hamid (kanan) dan Zizan Razak.
Hadiah hari jadi
Setelah meraih anugerah Artis Komedi Wanita Popular dalam acara
Anugerah Bintang Popular pada April lalu, kali ini Didie menjadi pilihan
peminat apabila muncul pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular
semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini.
Menurut isteri kepada Nor Isham Ismail itu, kemenangan yang diraih
itu ternyata cukup bermakna kerana ia diraih sehari sebelum usianya yang
ke-40.
"Kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kenangan yang begitu
istimewa kerana ia diterima semasa saya meraikan ulang tahun kelahiran.
"Selain itu, ia bukan sahaja kejayaan peribadi kerana trofi yang saya
genggam ini merupakan sokongan yang tidak putus-putus daripada
peminat," ujarnya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 17 Ogos
lalu.
Memandangkan usianya kini yang sudah mencapai empat dekad serta
anak-anak yang semakin membesar, Didie turut ditebak dengan persoalan
tentang sehingga bila dia mahu terus menjadi seorang pelawak.
Menurutnya, dia tidak pernah meletakkan sebarang tempoh tertentu
kerana semuanya bergantung kepada rezeki yang diterima serta kepercayaan
yang diberikan oleh penerbit dan pengarah.
"Selagi ada mana-mana pihak yang menawarkan saya berlakon komedi,
sudah tentu saya akan menerimanya kalau ia bersesuaian dan berbaloi.
"Lagipun dalam industri hiburan sekarang ini kita agak ketandusan
pelawak-pelawak wanita. Setakat ini dunia komedi memang didominasi oleh
golongan lelaki," jelasnya mengakhiri bicara.