KOTA BHARU - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui
prestasinya menurun sejak kebelakangan ini menyebabkan dia gagal
memberikan persembahan terbaik terutamanya ketika perlawanan
persahabatan menentang Barcelona baru-baru ini sehingga melepaskan gol
mudah.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya
dan menganggap ia sebagai cabaran yang harus ditempuhinya sebagai
seorang pemain bola sepak.
"Saya akan berusaha lebih keras untuk kembali ke prestasi sebenar.
Impian saya tahun ini ialah untuk membantu Kelantan mempertahankan
kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu dan terus mengalas
tanggungjawab sebagai penjaga No. 1 negara," katanya pada pelancaran
koleksi terkini jam berjenama Mido di sini, semalam.
Khairul mengakui Kelantan bakal berdepan tugas sukar dalam usaha
mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila diundi bersama tiga
pasukan Liga Super iaitu Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan pada
kempen kali ini.
Ujarnya, kesemua pasukan tersebut mampu memberikan tentang sengit kepada The Red Warriors kerana mereka memiliki ramai pemain hebat dan menggalas tugas dengan baik sekiranya diturunkan pada setiap perlawanan.
Katanya, The Red Warriors tidak boleh memandang rendah
keupayaan mereka kerana setiap pasukan pasti akan bermain mati-matian
untuk menumpaskan Kelantan dan merupakan satu motivasi jika berjaya
berbuat demikian.
Menurutnya, bagaimanapun dia akan rakan-rakan sepasukan sudah
bersedia untuk mengalas cabaran dalam saingan Piala Malaysia yang bakal
berlangsung pada 20 Ogos ini.
"Sebagai pemain, saya dan rakan-rakan akan memberikan aksi terbaik
dalam setiap perlawanan yang diharungi bagi memastikan Kelantan tidak
keciciran mata.
"Ini penting, bagi memastikan Kelantan mampu mengulangi pencapaian
musim lalu sekali gus mempertahankan kejuaraan tersebut sekali lagi
musim ini," katanya.
Penjaga gol kebangsaan itu mengakui, Piala Malaysia berbeza dengan
saingan Liga Super mahupun Piala FA kerana setiap pasukan yang
bertanding dalam kejohanan ini pasti mempamerkan aksi luar biasa.
"Itulah uniknya Piala Malaysia. Kadang kala, sukar untuk meramalkan
pasukan mana yang akan layak ke pusingan seterusnya kerana mereka
menjadikan kejohanan ini untuk memulihkan semula reputasi pasukan,"
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan