LONDON - Theo Walcott percaya, kemenangan Arsenal terhadap Fenerbahce dalam aksi playoff pertama
kempen Liga Juara-Juara kelmarin mampu menjadi tonik semangat buat
mereka supaya kembali bangkit dalam saingan Liga Perdana England.
Skuad kendalian Arsene Wenger kini mahu melupakan kekecewaan
ditewaskan Aston Villa dalam aksi pembuka tirai liga minggu lalu
menjelang aksi berdepan Fulham di Craven Cottage malam ini.
Kekecewaan penyokong fanatik The Gunners juga dilihat belum ternokhtah ekoran kegagalan Wenger mendapatkan pemain baharu musim ini.
Justeru, Walcott percaya mereka mampu memberikan cabaran dalam
saingan liga domestik sebaik menewaskan Fenerbahce dengan kemenangan
bergaya 3-0 di tempat lawan.
Menurutnya, kemampuan Arsenal menewaskan Fenerbahce meskipun tempang
tanpa beberapa pemain utama yang tercedera pastinya menyuntik moral
mereka ketika berdepan Fulham malam ini.
"Kemenangan itu cukup penting buat kami selepas memulakan kempen liga dengan keputusan yang mengecewakan.
"Saya gembira apabila kami berjaya mengendalikan tekanan itu dengan baik.
"Sebagai pemain profesional, kami tidak akan terjejas dengan sebarang
kritikan melainkan apa yang dikatakan pengurus," kata Walcott.
Pada masa sama, Walcott juga menegaskan mereka telah melupakan kekecewaan ketika berdepan Villa tempoh hari.
"Kami perlu segera bangkit dan enggan memikirkan kekalahan itu.
"Kini kami kekal fokus menjelang aksi berdepan Fulham dan jika kami
berjaya mempamerkan aksi ketika berdepan Fenerbahce, kami mampu
menewaskan mana-mana pasukan," kata Walcott. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan