Rabu, 28 Ogos 2013

Arsenal sahkan slot



RAMSEY (kiri) meledakkan kedua-dua gol ketika Arsenal menewaskan Fenerbahce 2-0 pada aksi playoff Liga Juara-Juara di Stadium Emirates awal pagi semalam.


PARIS - Arsenal mengesahkan slot ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali ke-16 berturut-turut selepas menewaskan Fenerbahce 2-0 pada aksi playoff kedua di Stadium Emirates awal pagi semalam.

Skuad The Gunners layak dengan agregat 5-0 hasil kemenangan 3-0 pada aksi pertama di Stadium Sukru Saracoglu, Turki minggu lalu.

Pada aksi awal pagi semalam, Aaron Ramsey sekali lagi menjadi pemusnah apabila meledakkan kedua-dua gol kemenangan Arsenal masing-masing pada minit ke-25 dan 72.

Bagaimanapun, kehilangan Lukas Podolski akibat kecederaan pada awal babak kedua menjejaskan sedikit keceriaan kem skuad The Gunners dan pengurusnya, Arsene Wenger.

"Pada saingan peringkat tertinggi ini, apa yang paling sukar ialah untuk beraksi secara konsisten dan sudah tentu ia adalah satu pencapaian yang besar.

"Bagaimanapun, kami berdepan krisis kecederaan di jentera hadapan kerana bakal kehilangan Podolski. Saya tidak tahu bagaimana keadaan Ramsey dan saya tidak tahu perkembangan (Jack) Wilshere yang mengalami kecederaan buku lali.

"Dia (Wilshere) mungkin tiada apa-apa tetapi Podolski sudah pasti berehat selama 21 hari dan bagi Ramsey pula, kami kena periksa dahulu keadaan kecederaan pangkal pahanya esok (semalam)," kata Wenger.

Arsenal tidak pernah memenangi gelaran utama di England dan Eropah sejak merangkul trofi Piala FA 2005.

Sementara itu, kelab Jerman, Schalke turut mengikut jejak langkah Arsenal setelah menang tipis 3-2 ke atas PAOK Salonika, sekali gus layak dengan agregat 4-3.

Steaua Bucharest juga akan beraksi di peringkat kumpulan buat pertama kalinya dalam masa lima tahun setelah seri 2-2 dengan Legia Warsaw untuk layak menerusi peraturan jaringan gol di tempat lawan setelah seri 1-1 pada aksi pertama. 

Turut melayakkan diri adalah Austria Vienna yang menewaskan Dinamo Zagreb dengan agregat 4-3, manakala Basel menewaskan Ludogorets Razgrad dengan agregat 6-2. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan