Ahad, 25 Ogos 2013

ATM dapat semula rentak sebenar


AMRI (kiri) cuba melepasi kawalan pemain ATM ketika Selangor tewas 2-3 pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam malam tadi.


PEMAIN tengah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bruno Martelotto yakin skuadnya kembali bangkit mempamerkan prestasi sebenar selepas menundukkan Selangor 3-2 dalam satu perlawanan penuh dramatik pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan 3-4 di tangan Sime Darby pada aksi pembukaan Piala Malaysia, Selasa lalu, Bruno percaya skuad The Gladiators kembali menemui rentak dengan menampilkan corak persembahan penuh bertenaga.

Perancang Argentina itu berharap kemenangan ke atas skuad Gergasi Merah akan menjadi suntikan moral terbaik bagi pemain ATM dalam usaha memburu kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Satu perlawanan yang sukar ketika menentang Selangor. Kami bermain dengan sepenuh hati dan hasilnya, berjaya merakamkan kemenangan pertama di sini.

"Pada fikiran saya, kami mahu melupakan kekalahan kepada Sime Darby. Jadi, misi kami adalah berusaha mencipta kemenangan terhadap Selangor.

"Hasilnya, ATM berjaya mempamerkan satu persembahan begitu menarik dan paling mustahak adalah kami telah berjaya mendapatkan tiga mata penuh," katanya yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada aksi menentang Selangor.

Pada aksi tersebut, skuad The Gladiators terlebih dahulu membuka jaringan menerusi kapten, Hairuddin Omar seawal minit ke-15.

Penyerang veteran Selangor, Mohd. Amri Yahyah menyamakan kedudukan menerusi jaringan menarik dengan menewaskan penjaga gol ATM, Mohd. Farizal Harun pada minit ke-30.

Begitupun, skuad The Gladiators terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan Selangor dengan meledak dua gol dalam tempoh empat sebaik Fitri Omar meledak gol ketiga buat skuad kendalian B. Sathianathan pada minit ke-43 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-47.

Selangor kembali merapatkan jurang menerusi jaringan lewat dari pemain sayap, S. Kunanlan pada masa kecederaan, namun gagal mempamerkan kebangkitan pada saat-saat akhir selepas menyaksikan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Johor menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan kelebihan empat mata diikuti ATM (kedua) dan Sime Darby (ketiga) selepas masing-masing berkongsi tiga mata berdasarkan perbezaan jaringan, manakala Selangor di tangga tercorot selepas sekadar memungut satu mata.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan