BUKAN mudah untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang tepat
terhadap beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong
selepas kegagalan mereka melangkah ke final Kejohanan Badminton Dunia
2013 di Guangzhou, China.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran kepada
Kien Keat-Boon Heong supaya menampilkan aksi terpuji atau beregu No. 4
dunia itu akan dipisahkan jika gagal melangkah ke pentas final.
BAM bertindak sedemikian berikutan prestasi mereka yang merudum sejak beberapa tahun lalu.
Kesudahannya, impian untuk beraksi di pentas final untuk kali kedua
selepas edisi 2010 tidak kesampaian dan kini mereka hanya menanti
hukuman daripada BAM selepas sekadar mampu menjejakkan kaki ke suku
akhir.
Pencapaian mara ke suku akhir itu sekali gus mengulangi skrip yang pernah dilakukan Kien Keat-Boon Heong pada edisi 2011.
Bezanya ketika itu, mereka tewas kepada gandingan Korea Selatan, Ko
Sung Hyun-Yoo Yeon Seong, namun pada 9 Ogos lalu, Kien Keat-Boon Heong
ditumbangkan oleh satu lagi pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa
Rang.
Terdahulu, ketika menyambut kepulangan Datuk Lee Chong Wei yang
pulang dengan pingat perak Kejohanan Dunia 2013 di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad
Norza Zakaria menegaskan, tindakan harus diambil terhadap kedua-dua
pemain itu.
Bagaimanapun, Mohamad Norza menjelaskan, bagaimana tindakan itu
dikenakan ia terpulang kepada keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa BAM
pada 7 September depan.
Ketika iminta mengulas mengenai keputusan terbaik terhadap Kien
Keat-Boon Heong, legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj
berpendapat analisis perlu dilakukan secara terperinci sebelum mengambil
tindakan terhadap kedua-dua pemain berkenaan.
"Mereka berdua baru 27 tahun (Kien Keat) dan 26 tahun (Boon Heong)
dan sekurang-kurangnya masih ada tiga tahun lagi untuk beraksi di
peringkat kompetitif.
"Kalau mereka berdua hendak dipisahkan, jadi BAM harus memberikan
penjelasan kepada mereka supaya tidak ada yang kecil hati dan
meninggalkan badan induk itu," kata James yang pernah menjadi jurulatih
negara pada 1982 hingga 1985.
Masa depan bekas beregu No. 1 dunia itu mula mencetuskan tanda tanya
ekoran kegagalan mereka meraih sebarang pingat pada Sukan Olimpik 2012
di London termasuk bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang dua
tahun kebelakangan ini.
Situasi tersebut sekali gus menyaksikan segelintir pihak dalam BAM
mendesak agar kedua-dua pemain itu dipisahkan dan digandingkan dengan
pemain muda.
Begitupun, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah prestasi mereka
pada masa akan datang dan kemahuan kedua-dua pemain itu sama ada Kien
Keat-Boon Heong rela untuk dipisahkan.
Mengulas lanjut, James percaya kedua-dua pemain itu boleh menerima
sebarang keputusan daripada BAM sekiranya diberikan penjelasan yang
terperinci mengenai hala tuju mereka nanti.
"Selepas Sukan Olimpik (2012) tidak boleh, mereka tunggu Kejohanan
Dunia (2013), kemudian apabila mereka tidak menang juga, jadi hendak
pisahkan.
"Apabila kedua-dua pemain terbabit tidak boleh bermain lagi, jadi apa
lagi yang BAM boleh buat? Namun, sama ada dipisahkan atau tidak, ia
terpulang kepada BAM," tambah James.
Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996, Cheah Soon
Kit percaya keputusan sama ada Kien Keat-Boon Heong bakal dipisahkan
atau tidak akan bergantung kepada ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan
Kim Her.
Jelasnya, laporan daripada jurulatih mengenai prestasi para pemain
ketika sesi latihan atau pada setiap kejohanan akan menjadi rujukan
utama.
"Hanya ketua jurulatih yang lebih mengetahui hal ini kerana beliau orang yang paling hampir dengan para pemain," tambahnya.
Kien Keat-Boon Heong mula digandingkan pada Terbuka Jepun 2006
sebagai 'percubaan pertama' oleh bekas jurulatih negara, Rexy Mainaky.
Kien Keat sebelum itu digandingkan dengan Ong Soon Hock, Gan Teik
Chai dan Chan Chong Ming tetapi selepas mempamerkan aksi cemerlang
meraih emas pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, mereka terus dikekalkan
sehingga ke hari ini.
Boon Heong pula pernah digandingakan dengan Hoon Thien How dan
Vountus Indra Mawan pada 2005 sebelum digandingkan dengan Kien Keat.
Bekas jurulatih Kien Keat-Boon Heong, Pang Cheh Chang yang kini
bersama skuad pembangunan beregu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)
berharap tindakan yang tepat akan diambil oleh BAM.
Jelas Cheh Chang yang pernah diberikan tanggungjawab membimbing
gandingan itu pada Sukan Olimpik 2012, keputusan yang diambil BAM
haruslah yang terbaik demi masa depan badminton negara.
"Kalau anda tanya saya sudah tentu saya mengharapkan keputusan yang
tepat. Pisahkan pemain ini (Kien Keat-Boon Heong) dan cari pasangan
baharu untuk mereka berdua.
"Kajian secara terperinci juga harus dilakukan kerana jika mereka
digandingkan dengan pasangan baharu, prestasi kedua beregu baharu ini
perlu lebih tinggi daripada tahap permainan mereka berdua sekarang.
"Saya sudah lama dalam skuad jurulatih, saya pernah ikut Rexy dan
begitu juga, Yap Kim Hock jadi sudah banyak yang saya tengok dan
belajar.
"Bagi saya kajian secara terperinci perlu dilihat bukan sahaja
masalah pemain-pemain ketika latihan sahaja tetapi masa mereka di luar
kerana ia akan menjadi punca kepada kejatuhan prestasi mereka," ujar
Cheh Chang.
Ditanya sama ada Kien Keat-Boon Heong mungkin akan meninggalkan BAM
sekiranya mereka tidak berpuas hati apabila dipisahkan nanti, Cheh Chang
berkata, dia percaya para pemain akan menerima keputusan itu selepas
mengetahui hala tuju selepas ini.
Jelasnya, pihak atasan dan jurulatih harus duduk semeja untuk
membincangkan hal berkenaan dan mencari jalan penyelesaian untuk
memastikan kedua-dua pemain itu faham mengapa sesuatu tindakan diambil.
"Saya juga pernah menjadi pemain tetapi pemain dahulu dengan sekarang
tidak sama. Kalau dahulu kami akan mengikuti apa sahaja arahan
jurulatih namun sekarang mereka harus diberikan penjelasan sebelum
melakukan apa yang disuruh.
"Jadi dalam perkara ini, jurulatih harus memberikan penjelasan dengan
lebih baik kepada Kien Keat-Boon Heong supaya mereka tahu hala tuju dan
perancangan jika dipisahkan untuk digandingkan dengan pasangan lain.
"Saya percaya jika mereka nampak hala tuju itu, mereka akan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan," ujarnya.
Cheh Chang pernah diberikan tanggungjawab untuk melatih Kien
Keat-Boon Heong selama 16 bulan sebelum diarahkan memantau skuad
pembangunan di SSBJ pada awal tahun ini.
Ditanya sama ada Kien Keat-Boon Heong mampu mara lebih jauh pada
Kejohanan Dunia 2013 jika mereka masih di bawah bimbingannya, Cheah
Chang mengakui, beliau yakin dengan kemampuan kedua-dua pasangan itu.
Difahamkan, mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa BAM di bawah Presiden
baharu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff minggu depan turut akan
membincangkan mengenai pelan jangka pendek dan sederhana badan induk
tersebut.
Selain menentukan tindakan terhadap Kien Keat-Boon Heong, keputusan
pelantikan Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan
dan Latihan (CTC) BAM juga akan diketahui pada mesyuarat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan