Selasa, 27 Ogos 2013

Benzema julang Real



Benzema (tengah) meledakkan gol kemenangan Real ketika menewaskan Granada 1-0 pada aksi Liga Sepanyol di Stadium Nuevo Los Carmenes awal pagi semalam.


MADRID - Real Madrid mencatat kemenangan kedua di bawah bimbingan jurulatih baharu, Carlo Ancelotti selepas menewaskan Granada 1-0 pada aksi Liga Sepanyol di Stadium Nuevo Los Carmenes awal pagi semalam.

Begitupun, skuad The Galacticos terpaksa berhempas pulas sebelum memperoleh tiga mata berharga itu.

Meskipun spekulasi mengenai perpindahan Gareth Bale membayangi pertemuan dua pasukan tersebut, ia tidak menjejaskan rentak pasukan pelawat yang memperoleh gol kemenangan menerusi Karim Benzema pada minit ke-10.

Percubaan Mesut Ozil dibatalkan, manakala tendangan Isco pula mengenai tiang gol pada babak kedua, sekali gus memaksa Ancelotti berpuas hati dengan kemenangan tipis itu.

"Saya tetap gembira. Ia satu kejayaan yang penting.

"Pada babak pertama, kami beraksi sangat baik dengan rentak yang pantas. Pasukan ini bertahan dengan baik meskipun menurunkan ramai jentera serangan.

"Rentak permainan kemudian diperlahankan pada babak kedua dan situasi itu menyebabkan permainan menjadi lebih sukar buat kami," kata Ancelotti.

Pada perlawanan pertama minggu lalu, Real turut menang tipis 2-1 ke atas Real Betis, namun Ancelotti menegaskan, sangat penting untuk terus mencipta kemenangan dalam usaha menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkannya.

"Saya lihat perlawanan Barca semalam (kelmarin) dan mereka juga bergelut sebelum mencatat kemenangan.

"Kami sedang berusaha mengubah beberapa perkara dalam permainan dan buat masa ini, sangat penting bagi kami untuk terus mengutip mata," katanya lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan