SALAH satu fakta 31 tahun kelahiran Metallica, grup yang mendewasakan
ramai peminat ini sudah mengadakan konsert di 60 buah negara. Fakta
yang lebih menggembirakan, Malaysia ialah salah satu dari negara yang
dijejaki James Hetfield, Kirk Hammett, Robert Trujillo dan Lars Ulrich!
Penantian selama 31 tahun dibayar dengan kepuasan tahap maksimum yang
diberikan oleh grup yang lama ditunggu-tunggu oleh para peminat.
Kedatangan Metallica yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu telah membayar
kerinduan dan mungkin pengorbanan pada masa lalu para peminat mereka
yang dahagakan visual persembahan hebat di depan mata sendiri.
Pastinya tarikh 21 Ogos 2013 akan tetap berada sebagai momen paling
berharga untuk peminat tegar grup ini. Apatah lagi persembahan Metallica
kalau disebut hebat, akan kedengaran sebagai satu pernyataan yang masih
di bawah kenyataan. Ia boleh dikatakan persembahan luar negara paling
hebat yang pernah diadakan di Malaysia. Maaf, bukan terlampau memuji
tetapi ini fakta.
Mereka sangat hebat dan bertenaga. Ia merupakan tenaga dua haluan,
disalurkan dan diserap oleh kedua-dua pihak iaitu Metallica dan peminat
mereka sendiri. Jumlah 50,000 khalayak yang membanjiri Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur memberikan gegaran yang cukup luar biasa untuk sebuah
konsert.
Sudah tentu tatacara konsert ini dimulakan dengan Hit The Lights yang
merupakan lagu rasmi pertama grup ini, kepanasan disambung dengan lagu
Master of Puppets yang merupakan lagu terbanyak dimainkan di pentas
dengan jumlah 1,256 kali. Persembahan kemudian berlarutan dengan
lagu-lagu epik milik grup tersebut antaranya Nothing Else Matters, For
Whom The Bell Tolls, Seek & Destroy dan Enter Sandman.
|
Vokal James Hetfield ternyata tidak berubah, gagah dan bertenaga
begitu juga dengan tiga jentera yang lain yang memukau dengan permainan
mereka yang boleh dikatakan hampir sempurna. Mereka 'memberi' apa yang
penonton mahukan, hampir 50,000 orang menyanyi bersama, vokal agresif
dan pukulan drum membabi buta Metallica. Apa lagi ditambah dengan sistem
bunyi yang sangat cemerlang dan tatacara lampu yang selaras dengan
persembahan malam tersebut.
Menambah selera dan semangat penonton untuk menyaksikan secara
langsung konsert yang dibawakan oleh Galaxy Group dengan kerjasama LAMC
Productions dan Rockstar Touring itu ialah momentum dan kesinambungan
daripada sebuah lagu ke lagu seterusnya.
Senarai lagu yang sama dalam setiap konsert jelajah Asia, setiap lagu
pastinya memberikan nostalgia tersendiri buat penonton terhadap grup
yang telah berjaya menjual 100 juta rekod sepanjang penubuhan mereka.
Apa lagi yang perlu diceritakan tentang Metallica kerana mereka
ternyata sudah hebat mulai saat merealisasikan impian khalayak Asia
bertemu mereka. Seperti judul album ke empat mereka, ...And Justice for
All kedatangan mereka adalah keadilan buat para peminat. Kibaran bendera
Malaysia dan percubaan Kirk Hammett dan Robert Trujillo berbahasa
Melayu sudah 'merumpunkan' suasana. Terima kasih Metallica, sila datang
lagi atas nama kehebatan dan pertemuan universal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan