|
PENDIRIAN Nur Fathia Abd. Latiff dan Aiman Hakim Ridza Abdoh untuk
tidak mengesahkan gosip percintaan mereka sebenarnya menjadikan nama dua
pelakon muda itu semakin 'panas.'
Nama Fathia, 25, dan Aiman, 24, mula dikaitkan apabila sebuah blog
gosip mendakwa mereka berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur pada 23 April lalu.
Biarpun sudah pelbagai jawapan diberikan Fathia bagi menafikan gosip
tersebut, isu berkenaan masih disebut-sebut dan seolah-olah ia seperti
kelihatan benar-benar bercinta.
Namun, menerusi drama bersiri berjudul Diandra yang kini hangat
ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam menerusi slot
Lestary, mereka sememangnya berlakon sebagai pasangan yang saling
bercinta.
Mula ditayangkan pada 20 Ogos lalu, naskhah tersebut menampilkan
Fathia sebagai Diandra, seorang gadis lasak yang menjadi pengawal
peribadi kepada seorang pelakon terkenal yang berlagak iaitu Adam Fahmi,
lakonan Aiman. Mereka akhirnya saling jatuh cinta.
Menjawab persoalan tentang kenapa sukar sangat untuk dia mengaku
bercinta dengan Aiman, ujar Fathia: "Saya tak mahu kalau banyak gosip
cinta akan menyebabkan saya digelar artis sensasi sedangkan karier
(lakonan) tidak ke mana.
"Biarlah buat masa ini, cukup saya katakan bahawa diri ini dan Aiman
serasi bersama dan masih dalam peringkat mengenali hati budi."
|
Jimmy Choo
Bukan sekadar cakap-cakap kosong, Fathia telah membuat perancangan
untuk membuat anjakan bagi menjadi insan seni yang lebih berkaliber.
Misi Fathia itu bakal menghubungkan budaya dan kesenian antara Malaysia dan Republik Uzbekistan.
Pada bulan Oktober ini, Fathia dijadual menjejakkan kaki buat kali
kedua di Uzbekistan. Kedatangannya kali ini memikul tanggungjawab yang
cukup besar.
"Uzbekistan menganjurkan pelbagai acara berkaitan seni sepanjang bulan Oktober.
"Saya dijadualkan ke sana bermula 22 hingga 27 Oktober bagi
menghadiri Festival Filem Antarabangsa Tashkent 2013 dan Pertunjukan
Fesyen Style.uz 2013 yang diadakan bersempena Minggu Fesyen Uzbekistan
pada tahun ini.
"Jika tiada aral melintang, saya akan menjadi salah seorang penyampai anugerah pada festival filem mega tersebut.
"Pada pertunjukan Style.uz 2013, saya akan muncul sebagai model bagi
memperaga busana rekaan pereka fesyen ternama Malaysia, Albert King yang
dilengkapi aksesori eksklusif jenama tersohor, Rafflesia.
"Fathia dan Albert umpama wakil delegasi Malaysia pada Style.uz yang
pada setiap tahun dihadiri oleh delegasi dari pelbagai negara.
"Antara yang pernah menyertai Style.uz termasuklah jenama-jenama terkenal seperti Hugo Boss dan Versace.
"Selebriti bertaraf dunia yang pernah menghadiri Style.uz termasuklah
bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan bintang legenda, Sting,"
tutur Fathia.
Tambahnya: "Melengkapkan wakil delegasi Malaysia sebagai tetamu
kenamaan Style.uz tahun ini ialah pereka kasut bertaraf dunia, Datuk
Jimmy Choo yang sudah mengesahkan kehadirannya."
|
Anak presiden
Ditanya bagaimanakah dia meraih peluang keemasan tersebut yang
berpotensi melebarkan popularitinya di Uzbekistan, Fathia memberitahu,
ia ekoran kunjungan kali pertamanya ke sana pada April lepas.
Kehadiran Fathia ketika itu disambut oleh bukan calang-calang orang
tetapi Gulnara Karimova iaitu anak sulung kepada Presiden Uzbekistan,
Islam Karimov.
"Pada awal Mei lalu, saya terbang ke Uzbekistan buat kali pertama
selama enam hari yang dibawakan oleh pemilik Rafflesia, Sin Cheong Loong
dan Winnie Sin.
"Kami menghadiri acara seni yang dikenali sebagai Festival Arslar
Sadorsi 2013," ujarnya yang telah dibawa melawat ke beberapa buah bandar
di Uzbekistan seperti Samarkand, Tashkent, Bukhara dan Navoi dengan
menaiki jet peribadi milik kerajaan negara itu.
Ujar Fathia, dia mengalami pengalaman baharu yang sangat hebat di negara yang kaya dengan nilai budaya tersebut.
"Saya sangat kagum kerana nilai dan tradisi lama di Uzbekistan begitu terpelihara dan dipandang tinggi.
"Malah, ia diangkat menjadi sesuatu yang sangat hebat dan menarik
menerusi festival dan seumpamanya sehingga menimbulkan rasa kagum
masyarakat luar Uzbekistan," katanya.
Apa yang menarik, kunjungan Fathia ke negara tersebut lebih bermakna
apabila dia meraih peluang untuk muncul dalam majalah terkenal
Uzbekistan, Bella Terra edisi Julai tahun ini.
"Saya berpeluang menjalani sesi fotografi untuk enam muka surat
majalah Bella Terra dengan menggayakan enam kostum moden rekaan Albert
King serta perhiasan koleksi eksklusif Rafflesia.
"Walaupun agak meletihkan kerana mula disolek pada pukul 3 pagi, saya
berasa puas kerana bukan mudah untuk meraih peluang tersebut," ujar
Fathia penuh teruja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan