LONDON - Marouane Fellaini dilaporkan mahu meninggalkan Everton untuk
menyertai Manchester United sebelum tag harganya meningkat lebih tinggi
pada tahun depan.
Perancang Belgium itu kini dianggarkan bernilai lebih dari £23 juta
(RM118 juta) oleh The Toffes yang sebelum ini telah menolak bidaan
United sebanyak £28 juta (RM144 juta) untuk Fellaini dan Leighton
Baines.
Selepas Everton enggan menjual Fellaini kepada bekas pengurus, David
Moyes yang kini bertugas sebagai pengendali Manchester United untuk
musim ini, The Red Devils dilihat berdepan cabaran sukar untuk
mendapatkan pemain utama pada musim panas ini.
Begitupun, difahamkan Fellaini melihat peluangnya akan berakhir jika
tidak menyertai kelab gergasi Eropah sebelum pentas Piala Dunia 2014
yang dijangka memberikan impak kepada nilai harganya.
Ini kerana Belgium yang dibarisi pemain bintang seperti Fellaini,
Eden Hazard dan Vincent Kompany, dijangka akan layak untuk kejohanan
yang bakal berlangsung di Brazil itu.
Justeru, Fellaini bimbang kejayaan pasukan kebangsaan itu akan
memaksa nilai meningkat lebih tinggi dan dia dikatakan mahu meninggalkan
Everton demi kebaikan kariernya.
Ini kerana pemain berusia 24 tahun itu berpendapat, dia telah
memberikan khidmat terbaik sepanjang menyarungkan jersi The Toffes
selama lima tahun.
Dia tidak mahu menyulitkan usaha pengurus baharu Everton, Roberto
Martinez pada peringkat ini sebagaimana Fellaini menuntut penghijrahan
secara formal.
Begitupun, Martinez dijangka tidak akan melayan tuntutan Fellaini
sebagaimana beliau mengesahkan tidak akan menerima sebarang bidaan.
"Mungkin 'bunyinya' sedikit kurang selesa tetapi kami tidak berminat untuk menerima atau membuat sebarang bidaan,
"Saya tidak pernah melihat United bekerja dengan penuh sopan sebelum
ini. Jadi, jika kamu mahukan pemain, lakukan mengikut prosedur,"
ujarnya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan