FOKUS Negeri Sembilan tidak akan terjejas menjelang aksi keempat
peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium
Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu ini.
Ia berikutan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan
(PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang seakan-akan dapat 'menghidu'
gejala rasuah sudah mula menular dalam skuad Hoben Jang Hoben.
"Sebagai Presiden PBNS dan Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau
(Mohamad) ada hak untuk bercakap. Saya tidak mahu mengulas apa-apa.
"Kalau beliau ada bukti bahawa pemain-pemain saya terlibat dalam
skandal rasuah, beliau boleh mengambil tindakan selanjutnya. Biarlah
pihak atasan yang membuat keputusan kerana fokus saya ketika ini adalah
bola sepak," kata pengendali sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah
kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Ridzuan tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya kerana
dakwaan beberapa pemainnya terlibat dalam skandal rasuah hadir ketika
mereka sedang berjuang pada kempen Piala Malaysia 2013.
Ridzuan berkata, prestasi pemain-pemainnya semakin menunjukkan
kemajuan berbanding ketika mereka mengharungi kempen Liga Super yang
lalu.
Selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini, Negeri Sembilan
berjaya mengutip empat mata setelah menewaskan Terengganu 2-0, tewas
kepada Pahang 3-5 dan seri dengan 1-1 Kelantan.
Pada aksi bertemu Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
kelmarin, Negeri Sembilan bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat
juara bertahan itu, sekali gus menghidupkan semula peluang mara ke
peringkat kalah mati.
Kelantan mendahului seawal minit ke-41 hasil rembatan kencang Dickson
Nwakaeme sebelum penyerang Negeri Sembilan, Fabio Leandro Barbosa
menyamakan kedudukan pada minit ke-60.
Mengulas mengenai kunjungan ke Kota Bharu, Ridzuan berkata, benteng
Hoben Jang Hoben dijangka pincang berikutan ketiadaan pertahanan import
dari Cameroon, William Modibo yang digantung perlawanan kerana mengutip
dua kad kuning.
"Ketiadaan Modibo pasti memberikan kesukaran kepada kami untuk mengekang asakan jentera serangan Kelantan.
"Bagaimanapun, kecemerlangan Mohd. Radzuan (Abdullah) malam tadi
(kelmarin) memberikan sedikit kelegaan buat saya. Saya rasa dia mampu
menggantikan tempat Modibo," kata Ridzuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan