Jumaat, 23 Ogos 2013

Kecederaan Messi meresahkan


MESSI (dua dari kiri) terpaksa dikeluarkan ketika Barcelona seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam aksi pertama Piala Super, Rabu lalu. Dia dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya.


MADRID - Lionel Messi belum pasti dapat beraksi apabila Barcelona berkunjung ke Stadium Rosaleda berdepan Malaga dalam kempen Liga Sepanyol awal pagi Isnin ini.

Penyerang terbaik dunia itu mengalami kecederaan hamstring semasa The Catalan sekadar seri 1-1 dengan Atletico Madrid pada perlawanan pertama Piala Super kelmarin.

Dia hanya tampil beraksi penuh selama 90 minit sebanyak sekali sejak 27 perlawanan lalu selepas mengalami kecederaan itu ketika berdepan Paris Saint-Germain dalam kempen Liga Juara-Juara pada April lalu.

Tatkala penyerang berusia 26 tahun itu belum pasti diturunkan, tempatnya dijangka diambil alih Neymar yang mencetak gol penyamaan ketika berdepan Atletico dalam aksi Piala Super Sepanyol tempoh hari.

"Saya harap dapat berterusan mencetak gol buat Barcelona selepas ini. Sudah tentu saya gembira dengan jaringan ini, namun saya kecewa kerana belum dapat bergandingan dengan Messi.
"Dia pemain terbaik di dunia dan kesemua penyerang pastinya mahu bergandingan bersamanya," kata Neymar.

Berbanding Neymar yang merupakan satu-satunya pemain baharu Barcelona musim ini, lain pula ceritanya dengan pengendali Malaga, Bernd Schuster yang berjaya mendapatkan lapan pemain baharu bagi menggantikan Isco, Jeremy Toulalan, Martin Demichelis dan Julio Baptista yang berhijrah.

Antara pemain baharu Malaga musim ini termasuklah Marcos Angeleri yang pastinya berdepan tugas getir mengekang serangan Barca biarpun tanpa kehadiran Messi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan