KELANTAN menempah laluan sukar untuk mara ke pusingan suku akhir
selepas tumpas mengejut 3-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi keempat
Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV,
Kota Bharu malam tadi.
Tuan rumah yang beraksi di hadapan 25,000 penyokong sendiri
dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat menerusi S. Sivanesan
pada minit ke-13 hasil rembatan dari jarak dekat yang gagal diselamatkan
oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan cuba bangkit dan hampir mendapatkan gol penyamaan pada minit
ke-21, namun percubaan Obinna Nwaneri berjaya diselamatkan penjaga gol
pelawat Mohd. Kaharudin Abdul Rahman.
Mohd. Kharudin terus bertindak cemerlang apabila mengagalkan tiga
peluang terbaik pasukan tuan rumah untuk memperoleh gol penyamaan pada
minit ke-33, 34 dan 35 hasil rembatan deras Mohd. Nor Farhan Mohamad dan
Zairul Fitree Ishak.
Tonggak berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin mengamatkan Stadium
Sultan Muhammad IV apabila meledak gol penyamaan menerusi rembatan
kencang yang melepasi jangkauan Mohd. Kaharudin pada minit ke-37.
Kelantan terus bernafsu untuk menggandakan jaringan menerusi serangan
bertali arus tetapi gagal menepati sasaran, sekali gus menyebabkan
kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Ahmad Fakri Saarani meletakkan Kelantan di depan
apabila menjaringkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-48.
Sepuluh minit kemudian, pasukan pelawat berjaya mengikat kedudukan
2-2 apabila penyerang import, Fabio Leandro Barbosa meledakan gol
penyamaan selepas bijak memperdayakan dua tonggak pertahanan Kelantan
sebelum melepaskan rembatan leret melepasi jangkauan Khairul Fahmi.
Kelantan kembali memperkemaskan rentak perlawanan dan hampir
mendapatkan gol ketiga pada minit ke-70, namun dinafikan oleh
ketangkasan Mohd. Kaharudin yang berjaya menepis keluar rembatan
tersebut.
Penyerang import Negeri Sembilan Leonardo Barbosa menghukum kealpaan
benteng pertahanan Kelantan menerusi jaringan ketiga selepas menanduk
masuk bola sepakan sudut Mohd. Nazrin Nawi pada minit ke-78, sekali gus
memberikan tiga mata berharga buat pasukan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan