|
LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menganggap situasi
yang menyelubungi penyerang kontroversi, Luis Suarez sudah selesai.
Menurut Rodgers, beliau dan pihak pengurusan Liverpool kini sudah
bersedia untuk 'menutup buku' tentang isu itu dan mereka hanya mahu
memberi fokus kepada saingan Liga Perdana England musim ini.
Sebelum ini, The Reds telah dua kali menolak permintaan seteru utama mereka, Arsenal bagi mendapatkan khidmat Suarez.
Suarez juga beberapa kali meminta Liverpool melepaskannya sehingga
Rodgers bertindak meminggirkan penyerang Uruguay itu serta membiarkannya
menjalani latihan bersendirian.
Namun, pada Jumaat lalu, Rodgers kembali membenarkan Suarez menjalani sesi latihan bersama rakan-rakan sepasukannya.
Dalam pada itu, Rodgers berkata, kemenangan 1-0 ke atas Stoke City
dalam aksi pembukaan Liga Perdana kelmarin telah menjadi perangsang
untuk mereka bangkit musim ini.
"Saya berpuas hati dengan pencapaian kami ketika ini dan kami akan memberi fokus sepenuhnya kepada saingan liga musim ini.
"Saya juga ingin menegaskan, saya tidak mahu lagi mengulas isu Luis
Suarez kerana dia ternyata tidak menghormati rakan-rakan sepasukan,"
kata Rodgers.
Sementara itu, Suarez masih lagi menjalani penggantungan selama enam
perlawanan awal musim akibat menggigit pertahanan Chelsea, Branislav
Ivanovic ketika pertemuan kedua-dua pasukan pada April lalu.
Sebelum pertemuan dengan Stoke, Suarez telah muncul di tepi padang
ditemani anak perempuannya, Delfina dan dia menerima tepukan gemuruh
daripada para peminat The Reds.
"Dia masih lagi menjadi sebahagian daripada kelab ini dan para penyokong masih sayangkannya," tegas Rodgers. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan