Ahad, 25 Ogos 2013

Man. City tetap hormati Cardiff


LESCOTT (kanan) turut bimbang dengan ancaman Cardiff pada aksi kedua Liga Perdana England di Stadium Cardiff City malam ini.


CARDIFF - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah cabaran Cardiff City pada aksi kedua Liga Perdana England di Stadium Cardiff City malam ini.

City membuka tirai liga dengan penuh bergaya apabila membelasah Newcastle United 4-0 pada aksi kompetitif pertama Pellegrini selaku pengurus skuad The Citizens, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Cardiff bermula hambar apabila tewas 0-2 kepada West Ham United.

Pellegrini berkata, kemenangan ke atas skuad The Toon itu bukan satu jaminan buat City untuk menghadapi Cardiff.

"Kami tidak memandang rendah keupayaan Cardiff walaupun mereka baharu dinaikkan pangkat dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
"Cardiff akan menjadi lawan paling sukar terutamanya apabila kami bertandang ke gelanggang lawan. 

"Kami sedar, City perlu bermain dengan baik untuk mengutip tiga mata penuh di sana tetapi kami akan kekal fokus dan bersedia bagi menghadapi cabaran seterusnya," kata bekas jurulatih Malaga itu.
Pemain pertahanan City, Joleon Lescott turut bimbang dengan ancaman Cardiff.

Lescott mengakui kehebatan Cardiff kerana dia pernah menentang skuad kendalian Malky Mackay itu ketika bersama bekas pasukan, Wolverhampton Wanderers FC.

"Saya pernah beraksi dengan Wolves dan saya cukup arif dengan suasana hebat yang akan berlaku di sini (Stadium Cardiff City)

"Saya yakin bahawa (penyerang Cardiff) Craig Bellamy akan memainkan peranan penting, sekali gus membuktikan bahawa perlawanan ini sangat penting.

"Jika kami berjaya mengikut arahan pengurus dengan baik, kami sangat yakin untuk membawa pulang tiga mata penuh," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan