LONDON - Pemain tengah Manchester United, Tom
Cleverley mahu membantu pasukannya dalam apa jua cara untuk memalukan
Liverpool esok kerana dia percaya, pulang bersama tiga mata di Anfield
akan memberi kepuasan besar kepada pemain dan penyokong United.
Menurut pemain muda England itu, pertembungan United dan Liverpool,
tidak kira di peringkat mana sekalipun menghadirkan 'bahang' tersendiri
kerana kedua-dua pasukan mempunyai sejarah permusuhan panjang.
"Pertemuan dengan Liverpool amat bermakna buat peminat kerana sejarah
dan permusuhan yang wujud di antara dua kelab ini, malah bermain di
peringkat akademi sekalipun, kalau lawan kami adalah Liverpool, ia akan
memberi makna berbeza.
"Saya tidak pernah bermain untuk United di Anfield, jadi saya tidak pernah merasai pengalamannya bagaimana.
"Harap saya dapat diturunkan dalam pertembungan Ahad ini dan saya
akan melakukan apa saja untuk membantu pasukan membawa pulang tiga mata
bermakna," kata pemain berusia 24 tahun itu.
United memulakan kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan
menang 4-1 di Swansea City, sebelum seri 0-0 dengan Chelsea di Old
Trafford.
Reds pula memenangi kedua-dua perlawanan pertama mereka, mengalahkan Stoke City dan Aston Villa 1-0.
Liverpool bakal menerima kunjungan United tanpa tonggak pertahanan,
Kolo Toure yang cedera, manakala tahap kecergasan pemain tengah, Joe
Allen masih membimbangkan.
Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, Arsenal menerima kunjungan
Tottenham di Emirates esok tanpa penyerang utama, Lukas Podolski.
Bintang Jerman itu mengalami kecederaan hamstring, sekali gus menambah masalah Arsene Wenger, yang sudahpun kehilangan dua pemain tengah, Alex Oxlade-Chamberlian dan Mikel Arteta.
"Ini adalah berita buruk buat Lukas Podolski selepas dia tidak dapat beraksi selama lapan hingga 10 minggu.
"Kecederaan hamstring yang dialami lebih parah daripada sangkaan awal kami," kata Wenger. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan