MANCHESTER - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan bahawa skuad The Blues sudah boleh melupakan impian untuk mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.
Mourinho mengeluarkan kenyataan itu selepas Chelsea seri tanpa
jaringan dengan United pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford
awal pagi semalam.
Chelsea telah mengemukakan dua tawaran kepada United untuk mendapatkan penyerang England itu tetapi ditolak skuad The Red Devils.
Selepas Rooney mempamer aksi yang cemerlang awal pagi semalam, pengurus skuad The Blues itu mengakui, beliau mungkin gagal untuk membawa Rooney ke Stamford Bridge.
"United adalah sebuah kelab yang hebat dan mempunyai penyokong yang
istimewa. Saya rasa, mungkin sekarang dia (Rooney) akan membuat
keputusan untuk terus kekal di sana.
"Kalau itu keputusan Rooney, kami akan hormatinya dan akui ia sudah
berakhir. Kalau sekarang dia beritahu tidak mahu pergi, maka tiada apa
lagi yang boleh kami lakukan.
"Namun, kami masih menunggu keputusannya," kata Mourinho.
Mourinho berkata, beliau akan memberikan masa selama dua hari kepada
Rooney untuk memikirkan tentang masa depannya dan mahu penyerang itu
tampil memberi penjelasan.
"Orang yang memulakan cerita ini harus tampil untuk menamatkannya.
"Bagi sebuah kelab seperti kami, seorang pengurus seperti saya, kami
bukannya bodoh untuk mendapatkan seorang pemain sepertinya daripada
sebuah kelab ternama yang tidak akan menjual pemain bintang mereka.
"Saya rasa, sudah tiba masanya demi kebaikan semua orang, dia tampil
untuk menamatkan cerita ini sama ada ia memihak kami atau mereka,"
tambah Mourinho.
Ketika ditanya mengapa beliau fikir Rooney mahu meninggalkan United,
Mourinho berkata: "Dia telah beritahu seseorang bahawa ia (menyertai
Chelsea) amat penting bagi kariernya.
"Saya akan menunggu sehingga 24 jam atau 48 jam untuk dia membuat keputusan." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan