LONDON - Jose Mourinho memberi amaran kepada Manchester United bahawa
dia belum berputus asa untuk memburu Wayne Rooney dan bakal melakukan
percubaan ketiga untuk membawa masuk bintang penyerang England itu ke
Chelsea.
Dalam langkah yang ditafsirkan di Old Trafford sebagai sengaja
diada-adakan untuk menghangatkan suasana menjelang pertemuan Liga
Perdana di antara kedua-dua pasukan, Isnin ini, Mourinho berkata, dia
tidak akan mengemukakan tawaran rasmi sebelum perlawanan itu. Namun akan
kembali sebelum pasaran perpindahan ditutup 2 September.
"Saya tidak mahu Chelsea melakukannya sebelum kami pergi ke sana (Old
Trafford) dan semua orang dalam kelab ini, termasuk ahli lembaga
bersetuju dengan saya. Kami berkongsi pandangan yang sama.
"Kami masih mempunyai masa untuk melakukan beberapa perkara, kami
pernah melakukannya sebelum ini dan akan melakukannya tidak lama lagi.
Begitupun saya rasa dalam tempoh menjelang perlawanan, adalah sebaiknya
kami pergi secara diam dan hanya memikirkan tentang pertarungan," kata
Mourinho.
Walaupun tidak menafikan kemungkinan akan ada tawaran yang datang
dalam masa terdekat, namun United tetap berpegang kepada pendirian
bahawa mereka akan menolak sebarang usaha untuk mendapatkan penyerang
berusia 27 tahun itu.
Pengurus United, David Moyes dan Ketua Eksekutif kelab, Ed Woodward
sebelum ini menegaskan bahawa Rooney tidak akan dibenarkan meninggalkan
Old Trafford.
Woodward telah menjelaskan kepada pegawai senior di Chelsea mengenai
kedudukan United tetapi dengan kedua-dua pasukan akan bertemu, Isnin
ini. Namun Mourinho diberi kebenaran untuk mengemukakan satu lagi
tawaran dalam usaha menjejaskan persiapan United selain mengalihkan
fokus Rooney menjelang perlawanan tersebut.
Dua tawaran Chelsea untuk mendapatkan Rooney sebelum ini, iaitu 20
juta pound (RM103.11 juta) dan 30 juta pound (RM154.67) telah ditolak.
Tawaran kedua dikemukakan, dua minggu lalu. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan