Sabtu, 17 Ogos 2013

Muzik 'Keras' daripada 66 Roads


MULA ditubuhkan pada tahun 2006, kumpulan ini nyata berpengaruh dalam core-scene tempatan.
Berasal dari Kajang, Selangor, 66 Roads meneruskan perjuangan dengan dianggotai oleh Gbum Bob (vokalis), As (vokalis), Kid (gitar) Acit (gitar), Ajoi (bass) dan Darin (drum) yang masing-masing meminati muzik genre ‘keras’, membuatkan mereka terus bersatu menghadapi dugaan yang datang.

Menurut Kid, walaupun muzik genre ‘keras’ yang lebih dikenali deathcore agak kurang didengari di pentas perdana seni muzik tanah air, namun pendengar muzik yang meminatinya masih ramai terutama dalam kalangan belia. 

Memilih dan membawa irama yang agak asing itu membuatkan kumpulan ini tidak menghadapi masalah untuk bersaing terutama ketika kumpulan ini mula menapak dalam industri muzik underground.

Walaupun pada mulanya mereka sukar mendapat kepercayaan daripada peminat, namun setelah hampir tujuh tahun bertapak, muzik mereka mula diminati ramai, lebih-lebih lagi bagi peminat core-scene.

Nama unik yang digunakan kumpulan ini diperoleh sejak mereka mula bermain muzik. Ilham untuk nama itu muncul ketika mereka sedang berjalan kaki di sebatang jalan di bandar Kuantan. Jalan yang dilalui itu menggunakan nombor 6/6 sebagai nama.

Dari saat itu, mereka mula mendapat idea untuk menamakan kumpulan ini dengan nama 66 Roads.
Kemunculan mereka dalam industri muzik tempatan membawa sekali ciri-ciri yang agak unik dan melalui kekuatan vokal, melodi serta persembahan mantap di pentas, ia membezakan 66 Roads dengan kumpulan muzik underground yang sedia ada.

Biarpun kemunculan mereka tidak mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik underground tetapi keunikan irama yang dibawa mereka itu sudah memadai untuk melonjakkan nama 66 Roads.
Sehingga kini, masih ramai peminat yang menanti-nantikan kemunculan mereka di pentas, lebih-lebih lagi pada tahun 2011. Tahun itu menyaksikan kelahiran semula 66 Roads dengan membawa konsep baru yang lebih berat. 

Dengan mempertaruhkan lirik berunsurkan peperangan, ilmu hitam, kawan makan kawan dan soal kehidupan dalam lagu seperti Fight Not To Be Remember dan banyak lagi, nyata aliran muzik yang dibawa itu melekat ke dalam jiwa peminat muzik indie tanah air yang mula menerimanya sebagai genre muzik baharu.

Dengan perubahan yang dilakukan oleh enam anak muda itu, ditambah pula dengan idea yang segar, kesemua faktor itu memberikan identiti tersendiri kepada 66 Roads dalam menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai jalan penceritaan yang dekat dengan masyarakat tempatan, di samping menyelitkan mesej berunsurkan nasihat.

Kepada mereka yang masih tidak berpeluang mendengar genre unik yang dibawa oleh kumpulan ini, apa kata kamu dengar sendiri dengan melayari laman www.facebook.com/66Roads, www. myspace.com/66roads, www.youtube. com/user/66roadsx,www.twitter.com/
66Roads_Band, www.reverbnation.com/ 66roads dan www.purevolume.com/ 66Roads. - SYAHRIL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan