|
LONDON - Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini memberikan
sokongan padu kepada penjaga gol, Joe Hart menjelang aksi sulung Liga
Perdana England menentang Newcastle United di Stadium Etihad awal pagi
Selasa ini.
Pellegrini masih menaruh kepercayaan kepada Hart meskipun prestasinya
di kritik hebat ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi
persahabatan antarabangsa, Khamis lalu.
Hart yang bergelut dengan prestasi tidak menentu bersama City dan
skuad England musim lalu, sekali lagi dikecam hebat kerana kegagalannya
menghalang gol pembukaan Scotland menerusi James Morrison.
Begitupun, Pellegrini merancang untuk berbincang dengan Hart dan
pemain itu perlu membuktikan musim ini bahawa dia masih layak menjadi
penjaga gol No. 1 England.
"Saya masih belum bercakap dengannya lagi, mungkin esok (semalam),
tetapi saya rasa Hart perlu membuktikannya setiap minggu mengapa dia
masih menjadi penjaga gol No. 1 England.
"Dia seorang penjaga gol yang penting, saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadapnya.
"Setiap orang boleh melakukan kesilapan tetapi saya tetap
mempercayainya dan yakin dia akan menunjukkannya sekali lagi tahun ini
mengapa dia masih menjadi penjaga gol terbaik di England," kata
Pellegrini.
Sementara itu, Pellegrini mengesahkan bahawa penyerang Sergio Aguero
akan diturunkan pada aksi pembuka kempen Liga Perdana England menentang
Newcastle meskipun pemain Argentina itu tidak beraksi dalam tujuh aksi
jelajah pra-musim baru-baru ini.
Pemain pertahanan Matija Nastasic yang pada awalnya diramal berehat
selama enam minggu kerana kecederaan buku lali, mungkin akan diturunkan
pada aksi kedua menentang Cardiff City selepas menjalani latihan lebih
awal daripada jangkaan.
City kini masih memburu seorang pertahanan tengah, namun Pellegrini
menegaskan, dia tetap gembira untuk memulakan kempen musim ini dengan
pemain sedia ada selepas membelanjakan £90 juta (RM461 juta) pada musim
panas lalu.
"Saya masih berpuas hati. Saya rasa kami memiliki satu skuad yang
diperlukan bagi tahun ini, bukan sahaja dalam saingan domestik, malah
Liga Juara-Juara.
"Kami akan lihat (ada pemain baharu atau tidak). Kami tidak perlu melakukannya hari ini. Jadi, mungkin ia tidak akan berlaku.
"Sebab itu kami melakukannya dengan cara kami sendiri, kami rasa ia
adalah jalan terbaik kami. Kami tahu pemain mana yang diperlukan,"
tambahnya lagi. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan