Ahad, 18 Ogos 2013

Real menyerah kalah?


MADRID - Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mula meragui keupayaan gergasi Sepanyol itu dalam mendapatkan khidmat bintang Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale.

Bale yang juga pemain sayap Wales dijangka menninggalkan Spurs untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol itu dan pihak Real juga dikatakan sudah bersedia memecahkan rekod perpindahan dunia pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ketika masa semakin suntuk dengan hanya tinggal lebih kurang dua minggu lagi untuk tarikh akhir perpindahan pemain, Ancelotti mula meragui keupayaan mereka membawa Bales ke Sepanyol dan beliau mendakwa yang pemain itu mungkin akan kekal di London.

Ancelotti, 54, tidak mahu lagi membicarakan tentang ketibaan Bale selepas dia dibidas oleh pengurus Spurs, Andre Villas-Boas baru-baru ini.

"Adakah Bale akan tiba di sini? Hari ini saya katakan tidak dan masih tiada perkembangan positif mengenai perkara itu.

"Ketika saya bercakap mengenai perkara ini baru-baru ini, (pengurus Spurs) Andre Villas-Boas telah menempelak saya. Jadi, ia bukanlah suatu isu yang ingin saya perjelaskan ketika ini," kata Ancelotti.
Ancelotti turut membuat perbandingan antara Real dengan AC Milan yang merupakan antara enam kelab yang pernah dibimbingnya setakat ini.

Menurut jurulatih kelahiran Itali itu, kedua-dua kelab tersebut memiliki persekitaran yang hampir serupa.

Katanya, Presiden Real, Florentino Perez serta Presiden Milan, Silvio Berlusconi merupakan individu yang sangat istimewa.

"Kedua-dua presiden kelab itu sangat menakjubkan. Terdapat suasana sangat baik antara kedua-dua kelab ini dan begitu juga sejarahnya," Ancelotti. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan