Jumaat, 2 Ogos 2013

Real semakin terdesak


MADRID - Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon yakin pasukan itu terdesak untuk menandatangani Gareth Bale bagi menggantikan Cristiano Ronaldo.

Calderon berkata, Presiden Real, Florentino Perez cuba mendapatkan Bale kerana khuatir dengan prospek kehilangan Ronaldo musim depan.

Ronaldo dilaporkan bakal kembali ke pangkuan bekas kelab, Manchester United kerana kurang gembira di Stadium Santiago Bernabeu.

Gajinya yang tinggi juga menyebabkan pihak pengurusan skuad The Galacticos berfikir dua kali sama ada mahu menghalang pemergian Ronaldo ataupun tidak.

Perez optimis Ronaldo tidak akan berhijrah biarpun bekas pemain terbaik dunia itu enggan memperbaharui kontraknya baru-baru ini.

"Saya tahu Ronaldo tidak gembira dengan presiden sekarang.

"Real juga keberatan untuk membayar gaji Ronaldo yang mencecah $20 juta (RM64.8 juta) setahun.
"Saya percaya mereka cuba mendapatkan Bale bagi mengelak kemarahan peminat jika Ronaldo berhijrah," kata Calderon.

Sebelum ini, Bale secara terbuka memberitahu pengendali Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas bahawa dia mahu menyertai Carlo Ancelotti di Real Madrid.

Pengarah Sukan Real, Zinedine Zidane turut menegaskan, Bale sepatutnya dibenarkan memenuhi impiannya beraksi bersama skuad The Galacticos.

"Tottenham sepatutnya memberikan kebenaran kepada Bale untuk mengadakan perbincangan dengan kami.

"Peluang beraksi dengan Real hanya datang sekali seumur hidup, jadi saya memahami perasaan Bale," kata Zidane. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan