Jumaat, 16 Ogos 2013

Rekod tanpa kalah Brazil lebur di Basel


Neymar (kanan) menghalang peminat yang memasuki padang ketika perlawanan persahabatan antara Brazil dan Switzerland di Basel, semalam. - AFP
 
BASEL, Switzerland - Rekod tanpa kalah Brazil dalam 11 perlawanan berakhir apabila jaringan sendiri Dani Alves memberikan Switzerland kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan semalam.

Pertahanan kanan Brazil, Alves tidak berada dalam tekanan ketika dia tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-48 hasil hantaran silang penyerang Switzerland, Haris Seferovic yang gagal ditepis penjaga gol Brazil, Jefferson.

Bintang muda Brazil, Neymar melalui perlawanan yang mengecewakan apabila kerap kali diasak sebelum dilayangkan kad kuning pada minit ke-23 kerana mengkasari pertahanan lawan, Stephan Lichtsteiner. 

"Kami berhak di atas kemenangan ini. Kami membuktikan bahawa jika kami mempunyai ruang, kami mampu menjadi pasukan yang terbaik. Memastikan gawang kami tidak dibolosi ketika menentang pasukan seperti Brazil, ia amat istimewa," kata Lichtsteiner.

Sepakan lintang dari penjuru kiri pada minit ke-38 adalah percubaan terbaik yang berjaya dihasilkan oleh Brazil, namun tandukan Paulinho melepasi palang gawang Switzerland.

Brazil menang enam perlawanan mereka pada Piala Konfederasi pada Jun lalu.

Kali terakhir skuad Luiz Felipe Scolari kalah ialah 1-2 kepada England pada Februari lalu di England. Rekod tanpa kalah mereka berakhir di Switzerland setelah Brazil memulakan aksi tanpa kalah apabila seri 2-2 dengan Itali pada Mac lalu.

Switzerland pula melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan sejak Mac 2012.
Kedua-dua pasukan mungkin bertemu lagi pada Piala Dunia akan datang.

Switzerland belum kalah dalam kempen Kelayakan dan mendahului kumpulan dengan kelebihan empat mata ketika baki empat perlawanan. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan